PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan di sebuah portal berita.


Ringkasan AI
  • SPRM telah merakam keterangan lima ADUN Sabah berhubung dakwaan rasuah melibatkan perolehan projek mineral, berdasarkan klip video perbualan yang tular.
  • Siasatan awal mendapati seorang ahli perniagaan disyaki terlibat dalam isu rasuah tersebut, yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah.
  • SPRM meminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan memberikan ruang kepada siasatan, sambil menggesa pemberi maklumat tampil membuat laporan rasmi untuk perlindungan undang-undang.


Menurut kenyataan SPRM pada Ahad, SPRM Sabah telah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri tersebut.

"Siasatan awal berhubung aduan tersebut telah membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah yang disyaki terlibat isu dakwaan rasuah membabitkan ahli perniagaan berkenaan," katanya.

[TERKINI] SPRM panggil lima ADUN Sabah

Menurut kenyataan itu, setakat ini, lima ADUN telah dipanggil untuk dirakam percakapan, dan siasatan masih giat dijalankan.

"SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dengan telus dan menyeluruh," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang pemberi maklumat berkenaan kes klip video beberapa ADUN membincangkan rasuah telah berjumpa dengan pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu.

Ketika pertemuan itu, peguam kepada pemberi maklumat itu hanya memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan beberapa orang sedang berbincang tentang wang.

Azam menggesa pemberi maklumat itu untuk membuat laporan rasmi dengan SPRM bagi memulakan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Undang-undang menyatakan apabila individu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia akan dilindungi oleh undang-undang.

Selasa lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak khususnya SPRM susulan tular rakaman audio ADUN dikatakan sedang membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit. - Sinar Harian