Malang tidak berbau bagi seorang wanita apabila dia maut dihempap kontena seberat 32 tan ketika sedang menunggu bas di Jalan Air Itam, Pulau Pinang pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa P'ng Yao Hong, 47 tahun, seorang pekerja social, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Datuk Keramat ketika kontena yang diletakkan berhampiran perhentian bas itu terbalik dan menimpanya.

Menurut ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Poh Leong Soon, siasatan awal mendapati kontena yang ditinggalkan dikawasan terbabit sejak malam tadi terjatuh akibat mendapan tanah.

Poh berkata, pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 3.28 petang dan tiga jentera dengan kekuatan 15 anggota bergegas ke tempat kejadian.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati mangsa tersepit di bawah kontena dan anggota dengan bantuan orang awam terpaksa mengeluarkan besi bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan wanita itu, tambahnya.

Bomba mengambil mangsa selama 45 minit untuk mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia dalam keadaan tertiarap.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.