SERDANG: Seorang wanita warga Indonesia ditemui meninggal dunia di sebuah bilik hotel bajet di Bandar Kinrara semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, penemuan mayat wanita terbabit dimaklumkan oleh pihak hotel berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mayat mangsa ditemukan pekerja hotel kira-kira jam 9 malam sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

"Buat masa ini, siasatan dijalankan di lokasi kejadian termasuk melibatkan anggota forensik bagi mengumpul bahan bukti yang ada," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Katanya, satu kenyataan media berkaitan kes ini akan dikeluarkan.

Sinar Harian yang berada di lokasi kejadian mendapati beberapa anggota polis termasuk unit peronda (MPV) menjalankan kawalan di sekitar lokasi kejadian. - Sinar Harian