KUCHING: Pelantikan Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan semalam bersesuaian dengan jasa dan sumbangan beliau kepada negeri dan negara secara keseluruhan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Wan Junaidi juga berpengalaman luas dalam pentadbiran serta pakar dalam undang-undang.

"Beliau (Wan Junaidi) begitu lama sekali menyumbang kepada negeri Sarawak dan Malaysia keseluruhannya, dengan pengalaman itu saya kira ia menjadi aset kepada Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak di sini, hari ini.

Wan Junaidi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang memegang jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh selama 10 tahun sejak Mac 2014.

Pelantikan Wan Junaidi sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak dibuat mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun dari 26 Jan 2024 hingga 26 Jan 2028.

-- BERNAMA