Berpenampilan botak dan bertubuh sasa, melihat gaya berjalan Mohamed Ahmed Mahmoud Shokr, 39, dari keretanya sambil membawa barangan jualan makanan Timur Tengah itu menuju ke gerainya, tidak ubah seperti watak Dominic Toretto atau Dom dalam filem berkenaan.
Berasal dari Mesir, bapa tunggal dua anak yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu namun kurang fasih itu berkata, sudah setahun dia menetap di negara ini dan Ramadan kali ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai bazar tersebut.
"Saya menonton kesemua filem aksi Fast and Furious dan sangat mengagumi bakat aktor Amerika Syarikat itu, tidak sangka pula ramai yang menyatakan wajah saya mirip pelakon terkenal tersebut sehingga tular di media sosial.
"Syukur dan gembira kerana saya merasakan itu juga antara rezeki saya berniaga di sini dan sepanjang berniaga di bazar Ramadan ini, kira-kira RM400 hingga RM600 hasil jualan kunafa dapat saya raih setiap hari," katanya kepada pemberita selepas ditemui di bazar berkenaan, petang semalam.
Mohamed Ahmed yang bekerja sebagai jurulatih kick boxing di bandar raya itu berkata, kebanyakan pelanggan yang membeli kunafa berharga RM10 sekeping itu adalah golongan wanita selain mereka turut meminta untuk berswafoto dengannya.
Terdahulu tular video berdurasi 14 saat memaparkan seorang lelaki botak dan bertubuh sasa, memakai baju berkolar putih yang ketat sedang menjual kunafa di sebuah gerai di bazar berkenaan. - BERNAMA