Dalam situasi wabak, kita perlu memahami bahawa kita menghadapi tiga ancaman serius. Satu, kelompok masyarakat sihat yang perlu dilindungi dari mendapat jangkitan; dan yang kedua merawat mereka yang telah disahkan berpenyakit agar tidak merebak pada skala yang lebih besar dan ketiga, melindungi warga kesihatan/ perubatan yang berhadapan dengan ancaman jangkitan berkenaan dari dijangkiti penyakit. Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali dalam situasi wabak yang berlaku mendadak. tanggungjawab berkaitan isu yang berkaitan dengan jangkitan diserahkan sepenuhnya kepada pihak klinik mahupun hospital. Dalam konteks kesihatan awam, pencegahan sesuatu penyakit merupakan tanggungjawab setiap individu dalam masyarakat berkenaan.
Satu asas utama dalam menjayakan aktiviti kesihatan masyarakat ialah penglibatan setiap ahli komuniti. Ini bermakna, setiap individu dalam masyarakat memainkan peranan yang sangat penting dalam menjayakan setiap usaha yang telah dikenalpasti. Peringkat pencegahan terbahagi kepada tiga peringkat utama iaitu pencegahan peringkat primer yang melibatkan masyarakat awam yang sihat, peringkat kedua yang melibatkan anggota kesihatan/perubatan (diagnosis awal dan rawatan segera) serta ketiga iaitu melibatkan komuniti dan kerjasama dari pakar/ ahli bidang dalam kesihatan dalam skop rehabilitasi.
Berbalik kepada tiga ancaman serius yang kita hadapi semasa wabak, ancaman terhadap masyarakat dapat diperteguhkan melalui pemerkasaan pengetahuan serta tanggungjawab mereka yang berperanan sebagai ikon mahupun ketua-ketua dalam sesuatu kumpulan/kelompok. Mereka ini perlu diberdayakan dengan pengetahuan serta asas mengenalpasti cara jangkitan, tanda-tanda dan gejala jangkitan serta bertindak segera membantu mereka yang didapati mempunyai sebarang gejala untuk mendapatkan penyiasatan lanjut dan rawatan di klinik mahupun hospital. Peringkat ini sebaik-baiknya dijayakan sepenuhnya oleh ahli masyarakat dengan bantuan nasihat konsultasi dari anggota dan pakar kesihatan.
Dalam menghadapi ancaman ini juga, individu yang telah dipertanggungjawabkan itu perlu meningkatkan langkah-langkah promosi kesihatan untuk menyedarkan masyarakat setempat di tenpat mereka untuk mengambil langkah mitigasi yang bersesuaian dengan peringkat masing-masing. Ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, tanpa menunggu mana-mana anggota kesihatan.
Ancaman kedua pula ialah menguruskan mereka yang mempunyai tanda positif serta berpenyakit. Ini sepenuhnya berada dalam tanggungjawab kakitangan kesihatan/perubatan yang berada di klinik dan hospital. Kita semua maklum, bahawa tatacara pengurusan mereka yang positif, sangat memerlukan komitmen dan tugas-tugas yang komplkes. Justeru, warga perubatan yang berperanan di klinik dan hospital, tidak wajar dibebankan menyaring mereka yang masih sihat serta tiada sebarang gejala.
Untuk mereka yang berisiko dari kawasan terbabit di China, adalah disyorkan saringan utama hanya dijalankan di pintu masuk negara. Tidak perlu pemeriksaan kesihatan atau saringan berulang-ulang dilakukan iaitu setiap kali mereka tiba di tempat kediaman/ lawatan dan sebagainya. Mereka yang masih sihat perlu diberikan penekanan mengenai jagaan kesihatan serta syor untuk mencegah jangkitan.
Langkah yang paling mudah ialah menyarankan mereka yang tidak sihat melaporkan situasi mereka pada klinik terdekat; menjaga kebersihan diri, memakai mask dengan betul serta tidak terdedah di kawasan yang penuh sesak dengan orang ramai. Sekiranya tidak sihat, janganlah individu tersebut keluar dari rumah atau bilik asrama masing-masing kecuali dengan memakai mask untuk mendapatkan rawatan di klinik.
Ancaman ketiga dalam wabak mendadak ialah melindungi kakitangan kesihatan/ perubatan dari terdedah dari bahaya jangkitan. Prosedur pengenadalian pesakit positif menyebabkan kakitangan berkenaan berhadapan dengan kuman yang sangat bahaya serta mudah berjangkit. Mereka terdedah kepada risiko pekerjaan yang boleh membawa maut, dan ini adalah satu tekanan yang sangat besar kepada warga barisan hadapan. Untuk itu, mereka perlu sentiasa disiapsiagakan secara berterusan mengenai pencegahan jangkitan serta langkah-langkah wajib pelan mitigasi mengelakkan jangkitan. Prosedur lengkap bagaimana melakukan rawatan pesakit yang dirawat perlu menepati SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dari penjelasan yang dikongsikan ini, diharapkan setiap organisasi yang bertanggungjawab dalam melaksanakan pelan pencegahan dalam institusi masing-masing untuk memahami bahawa tanggungjawab melindungi masyarakat dari jangkitan bukanlah terletak di bahu kakitangan kesihatan/ perubatan sahaja. Ianya perlu diperkukuhkan di peringkat asas komuniti serta dibantu oleh kepakaran Pakar Kawalan Wabak dari masa ke semasa. Andai kecelaruan tanggungjawab ini berlaku, warga kesihatan/ perubatan berhadapan dengan situasi yang bakal menjejaskan kualiti perkhidmatan mereka.
* Prof Madya Dr Malina Osman ialah Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI