TAIPING: Ular sawa yang rakaman videonya tular di media sosial selepas bersembunyi di siling sebuah rumah di Kampung Dew dekat Kamunting di sini, antara yang terpanjang pernah ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah itu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Larut Matang Selama, Faizulhalimi Mohd Yunus berkata, reptilia terbabit dianggarkan panjang lebih lima meter dengan berat sekitar 80 kilogram. 

"Operasi tangkapan dilakukan tujuh anggota pada Jumaat lalu selepas menerima panggilan jam 8 malam daripada MERS 999.

"Anggota terpaksa memecahkan siling di bahagian ruang tamu rumah untuk membolehkan ular keluar sebelum tangkapan dilakukan.

"Walaupun fizikalnya ular itu besar dan panjang, tetapi tidak agresif, ia hanya mahu melarikan diri sahaja," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau berkata, haiwan itu dipercayai menyelinap masuk dari ladang kelapa sawit berhampiran sebelum bersembunyi di atas siling rumah.

Katanya, maklumat diperolehi mendapati, kehadiran reptilia itu di sekitar kawasan rumah sudah dikesan sehari sebelum kejadian, namun tidak dijumpai apabila operasi mencari dilakukan.

"Operasi berjaya dilakukan tanpa melibatkan sebarang kecederaan. Ular berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

"Kemungkinan haiwan itu keluar dari habitat asal untuk mencari tempat sejuk," katanya.

Pada Selasa, tular sebuah video mengenai operasi tangkapan seekor ular sawa dilakukan anggota APM.

Video berdurasi 8 saat itu menunjukkan ular berkenaan jatuh dari siling dengan bunyi hempasan kuat di atas sofa selain menjalar ke dinding seakan mahu melarikan diri. - Sinar Harian