Ketua Projek Prof Madya Dr Mariam Md Ghazaly berkata program itu bertujuan meningkatkan keberkesanan pemulihan fisioterapi untuk komuniti B40 di kawasan setempat dengan kerjasama pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam.
"Dengan mengaplikasikan kepakaran kejuruteraan UTeM, beberapa peralatan rehabilitasi berteknologi tinggi dibangunkan termasuk dua alat rehabilitasi kaki yang inovatif untuk mempercepatkan pemulihan pesakit angin ahmar, kemalangan atau pembedahan.
"Selain itu, menerusi program ini UTeM turut menyumbang alat rehabilitasi tangan (hand rehab) dan pelbagai peralatan sokongan fisioterapi lain yang bertujuan membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata teknologi peralatan rehabilitasi kaki yang dibangunkan kumpulan penyelidik UTeM adalah Wearable Assistive Lower Limb Exoskeleton (WALLEs) serta Assistive Lower Limb Chair (ALLC) dan demonstrasi sarung tangan automatik pemulihan tangan turut dijalankan.
Mariam berkata menerusi program itu seramai 40 orang pesakit di kawasan berkenaan menikmati kemudahan peralatan fisioterapi itu, sekali gus membawa harapan baharu kepada mereka untuk menikmati proses pemulihan.
"Projek ini dibiayai menerusi geran Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti @UniMADANI) Fasa 2, 2024 oleh Kementerian Kewangan yang disalurkan melalui Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata pembangunan produk inovasi dan penyelidikan itu memberi manfaat langsung kepada golongan komuniti dalam negara, malahan turut berpotensi melebar sempadan antarabangsa.
"Usaha penyelidikan yang memberi impak pulangan langsung kepada komuniti sebegini terus giat dijayakan secara konsisten oleh UTeM termasuklah menerusi program ini.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan sokongan pemulihan tetapi juga mengukuhkan hubungan UTeM dengan masyarakat setempat dan memastikan kepakaran institusi ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Melaka," katanya.
-- BERNAMA