Keutamaan harus diberi dalam aspek teknikal khususnya reka bentuk dan perlindungan cerun sebelum sebarang pembinaan di lereng bukit dijalankan.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, langkah seterusnya adalah kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan memastikan semua peraturan dan garis panduan itu diikuti dengan tepat.

Jelasnya, pembinaan lereng bukit bukan perkara baharu dan sudah dilaksanakan di banyak negara luar.

"Negara lain banyak sudah buat pembinaan di lereng bukit, di Itali, Sweden, Eropah dan banyak di Hong Kong pun banyak.

"Tidak ada masalah, cuma kalau buat kena amik ukuran yang perlu, design slope, slope protection.

"Pemaju kena buat ikut keperluan slope, kena ada kelulusan PBT dan ada peraturan yang memang dibuat untuk pembinaan termasuk lereng bukit," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

BACA: 946 cerun diklasifikasi 'Berisiko Sangat Tinggi' - Fadillah

BACA:
Tubuh badan bebas audit kelulusan projek pembangunan lereng bukit

Ahmad Asri mengulas kenyataan pakar tanah runtuh, pengurusan bencana dan hakisan tanah Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Dr Habibah Lateh yang mendakwa, sikap pemaju yang hanya mengejar keuntungan menjadi antara punca kawasan cerun dan lereng bukit turut menjadi tumpuan pembangunan walaupun ia berisiko.

Jelasnya, kajian yang dilakukannya mendapati pemaju perumahan sememangnya berpengetahuan berkenaan punca tanah runtuh.

Dalam pada itu kata Ahmad Asri, masalah tidak akan timbul seandainya pemaju mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Kita tengok di Itali lebih dahsyat jurangnya sebab dia betul-betul mengikut reka bentuk, spesifikasi dan peraturan yang ada.

"Jangan ada pemaju yang hendak ambil jalan mudah dan potong kos, itu yang tidak betul. Kalau betul-betul ikut peraturan, memang tidak ada masalah," jelasnya.