Warga Kota Bharu tidak melepaskan peluang untuk hadir bersama keluarga dan rakan-rakan memberi untuk memeriahkan acara sejak jam 11 pagi pada Sabtu.
Menerusi segmen 'Saya Jual' iaitu peserta berkongsi idea perniagaan paling kreatif, pemenang kategori Penyertaan Terbaik dimenangi usahawan produk organik, Pengarah Urusan Al Muslih Solution Sdn Bhd, Nur Diana Azmi muncul sebagai pemenang utama kategori penyertaan terbaik.
Nur Diana yang merupakan usahawan dari Kota Bharu menyifatkan kemenangan itu sebagai satu rezeki yang tidak disangka.
“Bagi saya program ini bagus sangat untuk peniaga yang baru nak bertapak macam kita. Walaupun kita bertahun dalam industri ini tapi tetap kita rasa baru lagi. Sasaran kita adalah meluas... dengan ada Jiwa SME ini ia dapat membantu untuk meluaskan (pendedahan) orang awam untuk tahu produk kita,” katanya kepada Astro AWANI.
Bagi kategori Penyertaan Berpotensi pula dimenangi oleh pemilik RZ Garden Enterprise, Nur Izzatie Zulkifli dan pengasas Bedaie, Mohd Amar Mirza Abdul Kadir Jailani.
Pemenang segmen 'Saya Jual' menerima sijil penghargaan daripada pihak Bank Rakyat dan pendedahan untuk berkongsi mengenai perniagaan di khalayak ramai.
Segmen 'Saya Jual' dibawakan oleh Bank Rakyat menampilkan juri antaranya Penolong Kanan Naib Presiden, Penyelesaian Kreatif Editorial Perkhidmatan Kandungan Astro AWANI, Zaiful Ariffin; Ketua UNIFI Business, Mohd Yusman Ammeran; dan Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Mohamad Shiblie Abg Sapuan sebagai juri.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Mohamad Shiblie Abg Sapuan memaklumkan pihaknya komited membantu melahirkan lebih ramai usahawan tempatan pada masa akan datang.
“Berbanding dengan bank komersial lain, Bank Rakyat berbeza sama sekali. Kami sangat komited dalam membangun dan pada masa yang sama juga dan memperjuangkan usahawan di mana kita ada banyak program yang kita labur untuk menyokong mereka terutamanya usahawan di luar radar,” katanya.
Siri jelajah SME ketiga yang berlangsung di AEON Mall Kota Bharu pada 15 dan 16 September menampilkan perkongsian daripada pakar industri dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Lebih istimewa, acara itu turut menyediakan bengkel ilmu, bukan sahaja kepada usahawan malah kepada pengunjung serta pelbagai program menarik seperi 'Saya Jual' dan 'Santai Namun Sampai'.
Siri Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI mendapat kerjasama antaranya Unifi Business selaku penaja utama, Bank Rakyat selaku penaja segmen 'Saya Jual' dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai rakan strategik.
Jelajah Jiwa SME bakal bertemu PMKS di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang pada 21 dan 22 Oktober 2023 dan Wilayah Persekutan pada 24 hingga 26 November 2023.
Untuk maklumat lanjut mengenai Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI, layari www.jiwasme.com.my.