Beliau berkata, ia melibatkan pembangunan premis Tamu Desa di Penampang, Kota Marudu, Kota Belud, Sipitang, Nabawan dan Tawau.
"Sebahagian daripada Tamu Desa sedang dalam pembinaan dan selebihnya dalam proses perolehan. Pada 30 Sept ini, kita akan membincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan dan Keusahawanan Sabah perkembangan keseluruhan pelaksanaan Tamu Desa di Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas temubual mengenai Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Tamu Desa Sabah dan Sarawak oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi radio SABAHfm di Studio SABAHfm, di sini, pada Khamis.
Ewon berkata, inisiatif itu adalah cetusan idea beliau yang diperkenalkan kepada KUSKOP bagi menaik taraf kemudahan tamu komuniti luar bandar sedia ada atau membina kemudahan premis tamu baharu kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di luar bandar.
Dalam Belanjawan 2024, Ewon berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan telah menyediakan peruntukan RM20 juta untuk pelaksanaan pembangunan Tamu Desa di bawah KUSKOP.
"Bagi fasa pertama, sebanyak RM10 juta sedang dilaksanakan bagi membangunkan 36 tapak Tamu Desa di Sabah dan 13 di Sarawak. Sebahagian besar sudah siap termasuk di Sipitang dan Kuala Penyu yang akan diserahkan kepada komuniti peniaga kecil esok.
"Bagi fasa kedua, KUSKOP sedang memuktamadkan dengan Kementerian Kewangan mengenai penyaluran peruntukan bagi menjayakan pembangunan Tamu Desa yang seterusnya," kata beliau.
Ewon berkata, untuk perancangan jangka masa panjang, kementerian telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi inisiatif Belanjawan 2025 dan seterusnya menjadi inisiatif tahunan KUSKOP.
"Mudah-mudahan dengan adanya inisiatif ini, kita dapat memberi manfaat kepada para usahawan kecil, penjaja dan peniaga kecil di tamu-tamu desa terutamanya di luar bandar. Kita juga mewujudkan skim-skim usahawan tamu , Skim Pembiayaan Mikro kepada para penjaja dan peniaga kecil yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat, Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
"Kita juga menggalakkan penubuhan koperasi oleh para peniaga kecil-kecilan di Tamu Desa ini selepas mereka memulakan perniagaan di tamu pada masa akan datang," tambahnya. - BERNAMA