KUALA LUMPUR: Universiti perlu menjadi wadah awal dan tunjang utama bagi memupuk kesedaran berkenaan alam sekitar dalam kalangan mahasiswa.


Ringkasan AI
  • Universiti perlu menjadi asas untuk memupuk kesedaran alam sekitar di kalangan mahasiswa. Melalui pendidikan, mahasiswa dapat mempraktikkan amalan penjagaan alam sekitar yang akan diteruskan dalam kehidupan mereka selepas tamat pengajian.
  • Prof Dr Ahmad Ismail menyatakan bahawa pendidikan di universiti memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang cakna alam sekitar. Program penghijauan Malaysia juga merupakan usaha bersama untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kawasan hijau, yang melibatkan semua pihak dari individu hingga badan korporat.


Menurut Presiden Persatuan Ekologi Malaysia Prof Dr Ahmad Ismail, kesedaran awal yang dipupuk mampu membantu melahirkan masyarakat yang lebih cakna alam sekitar, sebaik sahaja mereka memasuki alam pekerjaan.

Katanya, amalan penjagaan alam sekitar yang diterapkan hasil daripada kaedah pendidikan di universiti juga dijangka dapat dipraktikkan masyarakat dan seterusnya dilestarikan dalam jangka masa panjang.

"Pelajar-pelajar yang kita latih ini akan keluar dalam kelompok yang besar dan berada di pelbagai sektor pekerjaan dengan berbagai jawatan.

"Yang penting daripada ini ialah, mereka mampu berfikir secara saintifik dan berpengetahuan asas.

"Ini penting supaya mereka boleh terlibat dalam pelbagai perbincangan penting berkenaan alam sekitar," katanya dalam program AWANI Pagi, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, hari ini. 

Ahmad menjelaskan, beliau percaya bahawa pendidikan di semua peringkat dan lapisan dapat menjadi senjata bagi mewujudkan kesedaran yang efektif dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, mengulas berkenaan Program Penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok yang bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai kepentingan kawasan litupan hijau, beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.

Ini termasuk di peringkat individu dan sesebuah komuniti masyarakat itu sendiri, selain daripada agensi kerajaan dan badan-badan korporat lain yang terlibat. 

Universiti perlu jadi wadah awal pupuk kesedaran alam