Kerajaan akan menubuhkan Unit Integriti di setiap agensi kerajaan bagi memastikan penjawat awam antara lain mengamalkan budaya kerja yang unggul dan cemerlang dengan pemantapan etika dan integriti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan berkata langkah itu juga sebagai insiatif bagi membendung salah laku jenayah, pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi di kalangan penjawat awam.

Selain itu, langkah mewujudkan Unit Integriti merupakan satu lagi komitmen kerajaan bagi melahirkan warga kerja yang berintegriti dan pada masa sama meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan agensi-agensi awam.

"Sebagai satu usaha kawalan dalaman dalam aspek integriti, unit ini bertanggungjawab melaksanakan enam fungsi teras iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan dan tatatertib," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi tujuan itu, Low berkata fungsi-fungsi yang sedia ada yang dilaksanakan oleh pelbagai bahagian atau cawangan tertentu di agensi-agensi terbabit perlu dipindahkan ke Unit Integriti berdasarkan kepada model yang ditetapkan.

Bagi menetapkan model Unit Integriti yang bersesuaian, Low berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan penarafan risiko agensi setiap tiga tahun sekali atau mengikut keperluan.

Katanya, SPRM telah membuat penarafan risiko rasuah ke atas agens-agensi perkhidmatan awam peringkat persekutuan dan negeri dalam menentukan kesesuaian model Unit Integriti di agensi-agensi awam.

Low berkata struktur dan perjawatan bagi Unit Integriti akan diwujudkan oleh Bahagian Pembangunan Organisasi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan penarafan risiko agensi dan dasar perjawatan semasa.

Beliau berkata perjawatan Ketua Unit Integriti ini memerlukan kelayakan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) atau lain-lain kelayakan yang diiktirafkan Lembaga Pentauliahan Pegawai Integriti.

Justeru itu, beliau berkata kerajaan yakin rakyat akan menyokong usaha terbaru ini bagi sama-sama memerangi elemen tidak sihat dalam pentadbiran dan pengurusan perkhidmatan awam yang merupakan nadi kepada pembangunan negara.