Semakin kurang markah, semakin tinggi korupsi. Dalam indeks jurang kuasa (power distance) pula, Malaysia memperoleh markah sebanyak 140 dalam indeks Hofstede.
Semakin tinggi markah, semakin besar jurang kuasa antara rakyat dan pemimpin.
Manakala, dalam indeks kebebasan moral (moral freedom) 2020, negara kita berada pada kedudukan ke-129 tercorot.
Bermakna rakyat Malaysia sangat kurang kebebasan untuk mengamalkan dan menyuarakan kepercayaan, pendirian politik dan pegangan sendiri.
Dan terakhir, dalam indeks kebahagiaan dunia (Global Happiness Index) 2020, Malaysia mempunyai
markah 5.84, antara yang terendah.
Banyak lagi indeks lain di mana Malaysia tidak mempamerkan prestasi yang baik.
Pendek kata, kita berada dalam keadaan yang sangat kritikal bermula sejak hampir tiga dekad yang lalu - baik dari segi ekonomi, politik, keadaan moral dan malahan dalam banyak lagi aspek lain.
Keadaan kita ini adalah sebuah jaringan masalah yang bersimpang-siur, sukar untuk dikenalpasti apakah punca yang menyebabkan kita terjerumus ke dalam gaung masalah ini.
Pun begitu, seperkara yang tidak ternafikan lagi yang menjadi titik temu antara semua permasalahan ini ialah korupsi.
Dalam fabrik masyarakat kita ini, ia terlalu mengakar - baik dari pimpinan teratas sehinggalah rakyat terbawah.
Hampir setiap hari kita membaca di ruang komen di Facebook, Twitter dan lain-lain, anekdot tentang amalan korupsi kecil-kecilan di pelbagai tempat - meja-meja kaunter, di pejabat-pejabat pos, dan bahkan di rumah-rumah ibadah.
Di dada-dada akhbar dan skrin-skrin televisyen pula penuh laporan beserta wajah-wajah yang dikaburkan, tangan bergari di belakang dan sejumlah besar nilai ringgit yang dipunahkan.
Kebanyakan masanya mereka bersut dan bertali leher, tetapi kadang-kadang ada juga yang hanya berbaju lusuh dan berselipar. Mudah kata, korupsi dalam masyarakat kita ini amat parah.
Dalam bukunya The Problem of Corruption (1986), Syed Hussein Alatas menjelaskan bahawa korupsi menjalar dalam sesebuah masyarakat dalam tiga peringkat:
- terbatas (restricted);
- membuas (rampant); dan
- kehancuran sendiri (self-destructive).
Peringkat pertama hanya berlaku sebatas kelompok penjawat kedudukan tertinggi negara dan perniagaan-perniagaan besar.
Peringkat kedua terjadi dalam kalangan setiap lapisan masyarakat, daripada sebesar-besar urusan sehinggalah ke sekecil-kecilnya.
Manakala, peringkat ketiga pula adalah ketika mana kegiatan ini mula menampakkan kesannya secara meluas, memunahkan khazanah negara dan merosakkan tata kemasyarakatan.
Dari pembahagian ini sahaja pun, kita dapat kenalpasti bahawa korupsi bermula dengan pihak atasan, yang memegang kuasa dan pengaruh, tidak dirantai dengan kesusahan hidup.
Sebaliknya, mereka sudahpun berkemampuan memenuhi setiap keperluan dan kehendak hidup, tetapi masih bernafsu terhadap kesenangan yang berganda-ganda. Dan saya yakin, negara kita yang tercinta ini sudahpun menginjak masuk ke dalam peringkat yang terakhir, di mana kemakmuran diganggu-gugat oleh para penguasa yang tamak haloba.
Seterusnya, siapakah yang paling terkesan dengan musibah ini?
Menurut Syed Husein lagi, antara semua lapisan masyarakat yang ada, selalunya kumpulan masyarakat yang paling kurang berdayalah yang paling menderitai akibatnya. Dan masyarakat yang paling di atas yang
paling merasai keuntungan.
Dari segi status ekonomi, orang miskin akan merana.
Dari segi kumpulan umur, anak mudalah yang paling dimangsakan.
Untuk memahami bagaimana kesannya ditimpakan ke atas anak muda, kita perlu fahami bagaimana korupsi memperdajal masyarakat.
Dua perkara yang perlu diberikan perhatian: modus operandi korupsi dan tujuannya.
Dari segi modus operandinya, korupsi berfungsi dengan huluran (inducement), iaitu penghulurnya melakukan secara sukarela; atau pemerasan (extortion), iaitu penerima memaksa penghulur.
Objek huluran dan pemerasan tersebut kebiasaannya mempunyai nilai yang tidak mampu diperolehi oleh si penerima dengan pekerjaan hariannya. Di mana ada nilai yang lebih besar berbanding sumber pendapatan seseorang, di situ adanya penyelewengan daripada sumber lain - selalunya daripada sumber pendapatan pihak ketiga yang tidak terlibat dalam transaksi tersebut.
Misalnya, seorang CEO menggunakan dana pelaburan syarikat untuk merasuah seorang bendahari sebuah badan pemegang amanah.
Manakala, tujuan korupsi selalunya melibatkan jawatan-jawatan yang tujuan asalnya melibatkan kepentingan awam.
Malangnya, jawatan tersebut telah disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.
Akibatnya, kegiatan tersebut mengalihkan fungsi jawatan awam itu daripada memenuhi tujuan kewujudannya untuk pihak-pihak tertentu sahaja.
Mengambil contoh di atas, bendahari tersebut meluluskan permohonan dana CEO syarikat tadi dan mengenepikan banyak permohonan pengusaha kecil-kecilan yang lain yang barangkali telah dihantar lebih awal.
Harus disedari, jawatan awam ini berfungsi dalam sebuah rangkaian birokrasi yang luas.
Oleh itu, di setiap tingkatan birokrasi, pasti akan ada bentuk-bentuk korupsi yang berlaku.
Di setiap tingkatan, akan ada hak orang lain yang diselewengkan, ada kepentingan awam yang dikhianati. Kebiasaannya, ia bergerak dari atas ke bawah.
Semua ini terkumpul sehingga menghimpunkan jumlah kerugian yang amat besar. Dan kekayaan itu akan berkitar dalam tangan-tangan orang kaya sahaja. Yang miskin semakin miskin, yang kaya semakin kaya.
Sumber yang punah ini semua sebenarnya ialah modal atau simpanan untuk masa depan negara, yang sepatutnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang, iaitu generasi anak muda kini.
Kesenangan menghasilkan ketamakan. Ketamakan menghasilkan korupsi. Korupsi memunahkan modal masa depan.
Kehilangan modal melahirkan masyarakat yang direnggut kesempitan hidup. Dan kesempitan hidup mewujudkan manusia yang hidup dengan kompas moral yang berprinsipkan kemandirian hidup (survivalism) semata-mata.
Akhirnya, manusia yang sepatutnya hidup dengan tata hidup bertamadun berguling jatuh ke dalam gaya hidup law of the jungle; menindas atau ditindas, pemangsa atau mangsa.
Cuma penindasan itu bukan dengan taring dan kuku, tetapi dengan kuasa dan tipu-helah. Dan ini bukanlah bentuk masyarakat yang ingin kita wujudkan.
Menyedari masalah ini, harapan perubahan tertanggung ke atas bahu anak muda. Kerana merekalah yang lebih terdidik dan lebih berkesedaran, serta sudah muak dan jelik dengan korupsi yang telah berterusan selama hampir separuh daripada umur negara ini.
Kepada anak muda, jangan sesekali mengandaikan suara kalian tidak mampu bergema.
Ingatlah peristiwa Tujuh Orang Muar tahun 1946 yang menentang campur tangan Malayan Union demi menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu. Mereka hanya tujuh orang pemuda.
Kini, anak muda membentuk hampir separuh daripada populasi negara ini.
Justeru, bersempena Undi18 sebagai perkembangan politik terbaharru, anak muda haruslah bergerak dengan lebih tersusun. Kita mampu menyelamatkan nasib masa depan negara.
BACA SEMUA BERHUBUNG UNDI18 DI SINI
* Oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Perpaduan.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.