PASCA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kenyataan dan perkongsian berbaur provokasi serta berita palsu memuncak.

Ia sangat serius sehingga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengeluarkan dua kenyataan pada 22 November dan 24 November. Seterusnya, di ikuti dengan tindakan memanggil pihak pengurusan TikTok susulan penyebaran video berbaur provokasi pada 30 November yang lalu.

Kenyataan MCMC | Jangan bangkitkan sentimen kebencian, provokasi

Di Malaysia, penguatkuasaan undang-undang berkaitan etika penggunaan internet ini sering dikaitkan dengan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588). Statut ini membabitkan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi yang tidak wajar.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali. Tambahan pula, pesalah boleh dikenakan hukuman tambahan RM1,000 setiap hari sekiranya kesalahan masih berterusan selepas dijatuhkan hukuman.

Walaupun begitu, undang-undang ini dianggap represif. Memandangkan beban pembuktian yang longgar. Bahagian yang sering dirujuk itu ialah memulakan komunikasi “dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu”.


Bukan sekali, tetapi dua kali cuba dipinda

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, pada tahun 2018 pernah mencadangkan pindaan peruntukan ini. Rasionalnya adalah kerana definisi “penggunaan tidak wajar” dalam Akta 588 terlalu luas dari segi pelaksanaan yang boleh menyebabkan penyalahgunaan. Juga, terdapat juga kebimbangan terhadap penggunaannya sebagai alat untuk menyekat perbezaan pendapat politik.

Cadangan beliau ialah pindaan untuk memasukkan keperluan untuk bukti niat sebelum sebarang kenyataan boleh dianggap menyinggung, dengan itu menghapuskan prospek pendakwaan atau penyalahgunaan sewenang-wenangnya dalam penggunaannya.

Pada Ogos 2022 pula, Tan Sri Annuar Musa, yang memegang portfolio Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, memaklumkan Kabinet bersetuju agar Akta 588 sedia ada dipinda bagi memberikan peruntukan undang-undang yang lebih kukuh dalam mendepani ancaman keselamatan siber.

Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada pindaan tersebut melibatkan Seksyan 233 atau sebaliknya. Yang pasti, pindaan ini juga tidak dapat dijayakan memandangkan Parlimen dibubarkan dua bulan selepas itu.


PBB sedia dengan strategi memadam kebencian

Mendepani xenophobia, rasisme dan kemiskinan toleransi ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menawarkan rangka kefahaman mengenai isu kebencian ini. Dalam dokumen ‘Strategi dan Pelan Tindakan mengenai Ucapan Kebencian’ menakrifkan perihal ini sebagai apa-apa bentuk komunikasi; ucapan, tulisan atau tindakan, yang menyerang atau menggunakan bahasa mencemuh atau diskriminasi terhadap individu atau kumpulan. Kesannya adalah daripada peningkatan suhu kebencian di alam maya, sehinggalah tercetusnya keganasan yang lahir daripada kebencian yang tersemai.

Yang demikian, PBB menggariskan strategi mengkaji punca akar trend ucapan benci berasaskan data, memberikan sokongan kepada mangsa, dan menjalinkan kerjasama dengan platform media untuk memantau dan mengambil tindakan kepada insiden kebencian ini. Selain itu, advokasi dan memperkemas pendidikan bagi mengatasi hal ini turut dianjurkan.

Satu perkara yang jelas daripada dokumen ini, PBB tidak menekankan soal menggerakkan jentera kerajaan melalui perundangan. Seterusnya, dinyatakan dengan tegas bahawa kebebasan bersuara adalah tidak merangkumi kebebasan mencetuskan ucapan benci.

Baca lebih lanjut komitmen MCMC untuk gubal undang-undang komunikasi di sini.


Undang-undang Anti-kebencian di negara-negara ASEAN

Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian dilaksanakan di Singapura untuk membanteras insiden kebencian. Undang-undang ini memberi kuasa kepada Menteri berkenaan untuk mengarahkan sesuatu komunikasi yang diterbitkan ditarik balik, atas faktor keselamatan negeri, kesihatan awam, ketenteraman awam atau untuk menghalang tercetusnya permusuhan atau niat jahat dalam masyarakat.

Myanmar memperkenalkan Rang Undang-undang Perlindungan Terhadap Ucapan Kebencian, yang masih diperingkat draf setakat 2020. Oleh itu, Myanmar Seksyen 295(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 66(d) Undang-Undang Telekomunikasi 2013 untuk membanteras isu ini.

Rang Undang-Undang Ucapan Benci pernah dibentangkan Parlimen Filipina, tetapi setakat ini masih tidak berjaya diluluskan.

Di Brunei, Akta Hasutan dikuatkuasakan untuk menangani ucapan benci. Beberapa negara menggunakan Kanun Keseksaan untuk menangani isu ini. Contohnya, Laos (Artikel 118 (memecahkan perpaduan)), Vietnam (Artikel 116 (menggugat dasar penyatuan)), dan Indonesia (Artikel 156(a)).


Ucapan benci adalah sebahagian kebebasan bersuara di AS

Di Amerika Syarikat (AS), ucapan benci dan jenayah benci dipisahkan. Ucapan kebencian tidak salah dan dilindungi oleh perlembagaan AS. Perkara ini dijelaskan melalui penghakiman Mahkamah Agung pada 2011, yang memutuskan bahawa kenyataan jelik yang menyakitkan hati sekalipun, sekiranya berkepentingan awam dan dilakukan secara aman, maka ia tetap menjadi sebahagian daripada kebebasan bersuara yang dilindungi.

Tetapi berbeza dengan jenayah benci yang boleh dihukum. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memberi definisi kepada jenayah benci ini sebagai sebarang jenayah; bunuh, bakar atau vandalisme yang mempunyai elemen bias. Pandang serong ini termasuklah terhadap bangsa, agama, ketidakupayaan, orientasi seksual, etnik, gender, fahaman dan seterusnya.

Ringkasnya, tiada, bahkan tidak boleh digubal undang-undang untuk mengekang ucapan kebencian di Amerika Syarikat. Pun begitu, jenayah yang dilakukan boleh dihukum, dan hukuman lebih berat boleh dikenakan sekiranya ada elemen kebencian.


Pemerkasaan undang-undang komunikasi atau kematangan pemimpin politik?

Merenung lebih dalam terhadap fenomena kebencian yang melarat di seluruh dunia, hatta di Malaysia, kesimpulan awal yang boleh dipersetujui ialah ia lebih dominan dicetuskan oleh politikus. Yang demikian, menimbulkan persoalan sama ada solusi tuntas kepada isu kebencian ini boleh diselesaikan dengan senaskhah Akta atau lebih mampan di rawat dengan kematangan demokrasi.

Yang pasti, kebebasan bersuara harus terus dijamin, tetapi rakyat Malaysia yang jujur pasti akur bahawa menyebar kebencian dan fitnah bukan sebahagian daripada kebebasan ini.

Ini masanya untuk membangun negara yang rebah akibat pandemik dengan kebersamaan yang lebih jitu.

Ucapkan yang baik, ataupun lebih baik diam.



* Irfan Faruqi ialah penyampai Astro AWANI, graduan undang-undang dan memberikan tumpuan pada pelaporan isu-isu semasa dan perundangan.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.