KUALA LUMPUR: CIMB Bank Berhad (CIMB) melancarkan kempen baharu, 'Kita Bagi Jadi', sempena sambutan ulang tahun ke-100 institusi perbankan terkemuka negara itu.

Kita Bagi Jadi merupakan sebuah gerakan sosial yang bertujuan menyebarkan nilai positif dan memupuk semangat ketahanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Lebih menarik, jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dan juara skuasy S. Sivasangari diketengahkan sebagai ikon dalam pelancaran kempen Kita Bagi Jadi bagi melambangkan nilai ketahanan, keazaman, serta tekad.

Menurut Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran CIMB Group, Toni Darusman, pihaknya mahu menyerlahkan rakyat Malaysia melalui gerakan sosial Kita Bagi Jadi, menzahirkan potensi, memberi kuasa kepada impian serta merangkul cita-cita mereka bersama CIMB.

"Melalui 'Kita Bagi Jadi', CIMB terus menyokong sukan, seni, muzik, dan juga komuniti di seluruh Malaysia.

"Pastinya selepas ini, CIMB akan terus menyediakan platform, terutama seperti yang kita saksikan sekarang daripada MPYO (Orkestra Belia Filharmonik Malaysia) untuk belia dan bakat di Malaysia, bagi mereka menunjukkan potensi di masa depan," katanya selepas majlis pelancaran tersebut, di ibu negara pada Selasa.

Hadir sama antaranya Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank dan CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu.

Dalam pada itu, CIMB komited memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pembangunan anak muda Malaysia dan telah bekerjasama dengan My Creative Ventures untuk memberi sokongan kepada MPYO.

.

Di bawah perjanjian setahun itu, CIMB dan MyCreative Ventures akan menjadi rakan kongsi kepada MPYO dan salah satu daripada aktiviti inisiatif tersebut ialah kem muzik selama 30 hari untuk 40 ahli di pusat latihan penuh CIMB, Akademi Nazir Razak di Bangi.

Aktiviti lain termasuk persembahan MPYO di pameran Artober "Art & Soul" CIMB pada Oktober dan acara kemuncak iaitu konsert tahun ke-100 bank pada November depan, selain festival Rock n' Riuh MyCreative Ventures yang dijadual pada Disember.

Dalam rangkuman kewangan dan akses kepada pembiayaan, CIMB telah mengagihkan lebih RM27 bilion kepada komuniti B40, serta sebanyak RM23 bilion kepada perniagaan mikro dan kecil sejak lima tahun lepas.

Sebagai sebahagian daripada komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk menyumbang RM150 juta dalam tempoh lima tahun, CIMB telah memperjuangkan pelbagai inisiatif dalam bidang sukan, pendidikan, seni, pemerkasaan dan alam sekitar.

Selain itu, CIMB telah memberikan lebih RM70 juta biasiswa kepada lebih 120 pelajar berprestasi tinggi.