KUANTAN: Dua bekas petugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mengubah suai kandungan laman web sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat Pahang, yang didakwa dilakukan sejak dua tahun lepas.

Mohd Isa Mohd Yusof, 36, yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu operasi dan bekas pembantu tadbir Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maimoonah Aid.

Mohd Isa dari Felda Sungai Panching Timur di sini, membuat pengakuan itu terhadap 26 pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 19 Februari 2020 hingga 12 Oktober 2021 di Pejabat SUK Pahang di sini, manakala Muhammad Amer Syafeeq didakwa atas tiga pertuduhan antara 18 Ogos 2021 hingga 4 Oktober tahun lepas di tempat sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan nombor pengenalan yang dibekalkan kepada mereka untuk memasukkan nama 29 individu sebagai penerima darjah kebesaran Pahang yang dikurniakan oleh Sultan Pahang ke sistem laman web tersebut tanpa diberi kuasa untuk berbuat demikian.

Sedangkan semua individu tersebut tidak disenaraikan sebagai penerima darjah kebesaran Pahang yang terlibat iaitu Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang memberikan gelaran Datuk.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Mohd Isa yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang ditawarkan pihak pendakwaan, atas alasan dirinya hanya mampu menyediakan wang RM20,000 bagi semua pertuduhan.

Dia yang beberapa kali berkata dirinya tidak mempunyai wang yang banyak juga memaklumkan telah ditukarkan ke jabatan lain.

Sementara itu, peguam Noor Azmi Kasani yang mewakili Muhammad Amer Syafeeq merayu jaminan itu dikurangkan kerana kewangan tertuduh yang juga berasal dari Kuantan tidak begitu baik selepas ditamatkan perkhidmatan pada 30 Jun lepas.

"Tertuduh kini bekerja secara sambilan dengan pendapatan antara RM500 ke RM700 sebulan. Isterinya juga tidak bekerja dan sedang mengandung, selain mereka turut mempunyai seorang anak," katanya.

Maimoonah membenarkan jaminan RM130,000 bagi Mohd Isa dan RM15,000 terhadap Muhammad Amer Syafeeq, masing-masing dengan seorang penjamin serta menetapkan 13 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim.

-- BERNAMA