Ringkasan AI
- Penganugerahan Darjah Kebesaran: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, adalah antara 213 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, termasuk Ketua Audit Negara dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation.
- Senarai Penerima: Anugerah termasuk Darjah Dato Paduka Mahkota Perak dan Darjah Pahlawan Taming Sari kepada pelbagai individu yang berjasa, termasuk pegawai kerajaan, anggota polis, dan wartawan.
- Sambutan dan Aktiviti: Sambutan Ulang Tahun meliputi majlis bacaan Surah Yasin, pemberian hidangan kepada banduan, dan seruan kepada rakyat Perak untuk meraikan dengan mengibarkan bendera negeri.
Syed Danial, 80 tahun, dianugerahkan darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima anugerah sama, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron merupakan penerima tunggal Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.
Senarai nama penerima diumumkan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin pada satu sidang media semalam.
Menurutnya, lapan orang dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.
Mereka ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff; bekas Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Kumpulan Petronas Abdul Rahim Mydin, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Harith Fadzilah Abdul Halim, Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr D Philip Rajan.
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Salasiah Abdul Wahab, Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri Yong Zarida Sazali, Duta Besar Malaysia ke The Hague Belanda Roseli Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Anuar Zainal Abidin.
Katanya, enam orang dianugerahkan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Lima penerima lain ialah Pengarah Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak, SAC Ng Kong Soon; Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Markas Angkatan Tentera, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral Cs M Thevendran.
Serta, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Markas Angkatan Tentera, Brig. Jen Dr Sharifah Sofiah Syed Zainol Abidin dan Panglima Wilayah Laut 1, Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Laksamana Muda Farizal Myeor.
Mohd Zahidi berkata, seramai 13 orang dianugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini di samping Darjah Paduka Mahkota Perak (28); Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (14); Darjah Ahli Mahkota Perak (39); Pingat Pekerti Terpilih (61); Pingat Jasa Kebaktian (30) dan Pingat Lama Perkhidmatan (10).
“Darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Perak pada tahun ini dikurniakan kepada mereka yang benar-benar layak, banyak berjasa kepada negeri Perak Darul Ridzuan dan mengharumkan nama negeri, serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja,” ujarnya.
Menurutnya, istiadat penganugerahan akan diadakan dua sesi iaitu pada 9 dan 17 November di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Selain Abdul Rahim, yang juga penulis kolum akhbar The New Straits Times (NST), beberapa orang wartawan dan ahli sukan turut menerima anugerah darjah kebesaran dan pingat.
Mereka ialah Pengarang Kumpulan NST Farrah Naz Abd Karim yang dianugerahkan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) serta Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Negeri Perak, Nor Ain Abu Bakar dan wartawan Astro AWANI di Perak, Abd Razak Mohd Ali yang dianugerahkan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK).
Penerima PJK dalam kalangan atlet Perak ialah Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin (sepak takraw), Aleena Ahmad Nawawi (lawn bowls), Izzat Shameer Dzulkeple (lawn bowls), Nur Amisha Azril Rizal (muay thai) dan jurulatih hoki Mohd Nizam Mohd Hashim.
Mohd Zahidi berkata, atlet-atlet ini telah mendapat pingat dalam kejohanan yang diadakan, sekaligus mengharumkan nama negeri Perak.
Menurutnya, sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada 1 Nov waktu solat Jumaat.
Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh Perak, diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing, katanya.
Selain itu, Sultan Perak turut berkenan membiayai hidangan makanan kepada 7,800 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan Rumah Perantaraan penjara negeri Perak (Kinta dan Taiping), yang akan diagihkan Jumaat ini.
Rakyat Perak juga diseru untuk bersama-sama meraikan dan menyemarakkan sambutan dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing.