KUANTAN: Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Tunku Azizah dikurniakan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) bersama lapan lagi penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini.

Darjah kebesaran SAAS yang kali pertama diperkenalkan itu turut dikurniakan kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tujuh lagi penerima darjah kebesaran SAAS yang membawa gelaran Datuk Seri Setia ialah Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan serta Tengku Arif Temenggung Tengku Fahad Mua'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut tersenarai ialah Tengku Puteri Seri Teja Datuk Seri Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Datuk Seri Nong Fatimah Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Puteri Seri Bongsu Tengku Datuk Seri Shahariah Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Di Hormati kepada paduka adinda Raja Jordan Putera Ali Al Hussein.

Dalam majlis yang sama, Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Utama Sri Diraja Sultan Ahmad Shah Pahang (SDSA) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Penasihat Undang-Undang Pahang Datuk Saiful Edris Zainuddin, Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri Datuk Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Indera Muhamad Norazlan Aris.

Turut menerima darjah kebesaran dan gelaran sama ialah Pengerusi Felcra Berhad Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Jabatan Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular Institut Jantung Negara (IJN) Prof Datuk Dr Alwi Mohamed Yunus, Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular, IJN Prof Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib serta Perunding Ancom Nylex Berhad Datuk Ahmad Johari Tun Abdul Razak.

Dua penerima Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Secretary General Higher Committee of Human Frarenity United Arab Emirates (UAE) Datuk Dr Khalid Ghanim AlGaith.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Ir Razali Kassim bersama Duta Besar Malaysia ke Itali Zahid Rastam dan Pengarah Asian Perlite Industries Sdn Bhd Lukman Runia Albert dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Mengakhiri senarai penerima ialah Juruiring kepada Putera Ali Al Hussein Brig Gen (Rtd) Farid Moh'd Ali Hajamat Qat yang dikurniakan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Ketiga Setia Al-Sultan Abdullah Pahang (SAS).

-- BERNAMA