KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan menjalani ibadat Ramadan serta persiapan menyambut hari lebaran yang berbaki kira-kira dua minggu lagi, umat Islam turut diingatkan untuk menunaikan segera zakat fitrah dan tidak melengahkan-lengahkannya pada saat akhir.

Namun, bagi penjawat awam, Norlela Amirul Samsudin, 35, Ramadan, tidak hanya menjadi tumpuannya untuk menunaikan zakat fitrah tetapi juga anak kelahiran Ayer Keroh, Melaka ini turut mengambil keberkatan bulan mulia ini untuk menunaikan zakat simpanan.

"Lebih tiga tahun saya menunaikan zakat simpanan untuk wang simpanan ketika bulan Ramadan. Ada nasihatkan saya untuk menunaikan zakat simpanan ketika akhir tahun untuk mendapatkan pelepasan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) tetapi saya tidak mahu kerana inginkan keberkatan menunaikan zakat tersebut pada bulan mulia ini.

"Alhamdulillah, wang simpanan tidak pernah susut malah ianya sentiasa bertambah dan saya juga tidak pernah berasa sempitnya kehidupan apabila berzakat tetapi ada sahaja rezeki yang masuk dan terasa benar keberkatannya," katanya kepada Bernama.


TIADA KOMPROMI

Biarpun begitu, masih ada lagi umat Islam yang tidak menyedari akan kewajiban mereka untuk menunaikan zakat wang simpanan berbanding zakat fitrah yang perlu ditunaikan semasa Ramadan mahupun juga zakat pendapatan yang biasanya akan dilakukan menerusi potongan gaji.

Walhal zakat wang simpanan juga sama konsepnya dengan zakat fitrah dan zakat pendapatan yang wajib ditunaikan bagi setiap umat Islam apabila mereka cukup syaratnya (Islam, merdeka, pemilikan penuh terhadap harta, cukup haul dan nisab serta berkembang (memberi pulangan atau pendapatan) dan tiada kompromi untuk itu sekiranya institusi perbankan, pelaburan tersebut tidak melakukan potongan berkenaan buat pendepositnya.

Buat masa ini, hanya Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan institusi tunggal yang membayarkan zakat bagi pihak pendeposit ke atas simpanan termasuk agihan keuntungan yang diterima penyimpan sekali gus memudahkan umat Islam yang tidak perlu khuatir dengan tanggungjawab mereka.

Menurut Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, zakat wang simpanan merupakan sejumlah wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan diwajibkan zakat sekiranya memenuhi syarat.

Wang itu sama ada berbentuk kertas, syiling dan sebagainya yang setaraf dengan emas dan perak serta mempunyai kuasa membeli.

Mengulas mengenainya, pensyarah kanan Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Shahid Mohd Noh berkata masih ada tidak menyedari tanggungjawab melunaskan zakat simpanan adalah mungkin disebabkan kurang pendedahan mengenainya berbanding zakat pendapatan yang kebanyakannya dipotong daripada gaji setiap bulan.

"Ramai tidak sedar atau mungkin kurang tahu wang simpanan di dalam bank juga wajib dibayar zakat...Apabila sesuatu simpanan itu genap setahun dan jumlahnya melebihi daripada paras nisab (had minimum ditetapkan) iaitu bersamaan nilai 85 gram emas, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah wang simpanan tersebut.

"...dan sekiranya umat Islam turut memiliki beberapa akaun simpanan di dalam bank atau institusi kewangan lain, mereka perlu menjumlahkan kesemua baki terakhir bagi setiap akaun simpanan tersebut dan zakat akan dikenakan apabila jumlah kesemua baki terakhir cukup nisab dan haulnya,'' katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara faktor lain yang menyebabkan masih ada tidak menyedari tanggungjawab tersebut adalah kebanyakan institusi kewangan, perbankan tidak menyediakan kemudahan potongan zakat atau mengguna pakai konsep wakalah (pihak bank bertindak sebagai wakil membayarkan zakat simpanan bagi pihak pendeposit atau pelanggan).



PERLUAS KONSEP WAKALAH

Kerana itu, beliau berpandangan mana-mana institusi kewangan, pelaburan terutamanya yang menawarkan perkhidmatan patuh syariah wajar menerapkan konsep wakalah bagi memudahkan penyimpan Islam menunaikan tanggungjawab mereka membayar zakat wang simpanan sekali dapat membantu meningkatkan jumlah kutipan zakat simpanan.

Mengambil contoh TH, institusi Islam yang mengurus dan menyediakan perkhidmatan haji bagi jemaah haji Malaysia yang membayarkan zakat bagi pendepositnya merupakan contoh terbaik dalam mewujudkan kesedaran dan tanggungjawab umat Islam mengenai kewajiban menunaikan zakat wang simpanan.

Justeru, beliau berpandangan langkah TH itu wajar dijadikan indikator kepada institusi kewangan, pelaburan lain untuk menyediakan perkhidmatan serupa menerusi konsep wakalah mewakili pihak pelanggan mereka.

"Tidak banyak bank atau institusi kewangan Islam menggunakan konsep seperti TH...Cuma, ada beberapa bank termasuk Bank Muamalat yang menjadi agen kepada pihak zakat, namun pendeposit perlu mengisi borang terlebih dulu untuk memberikan kebenaran pihak bank membayarkan zakat wang simpanan mereka.

"Apabila tiada kemudahan wakalah atau potongan zakat, pendeposit turut berasa perkara itu (membayar zakat) agak leceh kerana perlu mengira sendiri nilai zakat dan kemudian ke pusat zakat yang akhirnya menyebabkan kewajiban itu tidak dilunaskan," katanya.

Tidak boleh dipandang enteng akan kewajiban menunaikan zakat, tidak kiralah apa sekali zakat pun, beliau berkata, selain berdosa sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut, zakat pada hakikatnya membersihkan harta selain menambah keberkatan pada harta tersebut.

Malah, Allah SWT juga telah menjanjikan rezeki dan ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang mengeluarkan zakat.

"Orang-orang yang beriman di jalan Allah tahu tanggungjawab membayar zakat kerana ia akan membersihkan wang kita daripada sumber yang tidak disedari seperti kemungkinan terambil hak orang lain atau berlaku penganiayaan ketika kita memperoleh sumber wang berkenaan," katanya.

Bagi pengarah Pusat Wakaf dan Zakat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mushaddad Hasbullah berkata kewajiban berzakat tidak hanya disifatkan sebagai bentuk penyucian harta malah berupaya memupuk semangat berkasih sayang dan mengukuhkan jaringan persaudaraan antara golongan miskin dan kaya.



PERKASA EKONOMI UMAT ISLAM

Beliau berkata, apabila semakin banyak kutipan hasil zakat dapat dilaksanakan maka lebih ramai golongan yang tidak berkemampuan akan dapat dibantu dan mendapat manfaatnya sekali gus mewujudkan keadilan sosial dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

"Menerusi zakatlah, kita mampu merapatkan jurang antara kaya dengan golongan miskin sekali gus membantu golongan kurang berkemampuan untuk kelangsungan hidup mereka.

"Komitmen berterusan pembayar zakat ini juga akan memberi perubahan besar kepada asnaf zakat kerana mereka bukan sahaja akan berjaya keluar daripada golongan penerima zakat malah mereka mungkin juga akan menjadi pembayar zakat...impaknya, kita berupaya memperkasakan ekonomi umat Islam secara menyeluruh,'' katanya.

Sementara itu, perunding kewangan Muhamad Sabberi Barul Jamil berkata kebiasannya pendeposit dan pelabur muslim di institusi kewangan akan berasa gembira apabila mendapat pulangan atau agihan dividen daripada simpanan dan pelaburan masing-masing.

Namun ketika menikmati hasil tersebut, ramai yang tidak menyedari kepentingan dan kewajiban membayar zakat wang simpanan.

''Ada yang gembira apabila menerima pulangan keuntungan dari saham atau pelaburan termasuk di ASB (Amanah Saham Bumiputera) sehingga terlupa akan tanggungjawab menunaikan zakat walhal ia perintah yang wajib dilakukan dan dengan infaq itu ia dapat membantu saudara Islam lain yang dalam kesusahan.

''Sekiranya perlu, setiap simpanan atau pelaburan itu mintalah agensi berkenaan untuk membuat potongan zakat, seperti mana yang dilakukan Tabung Haji. Saya sebagai pendeposit tabung simpanan itu bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan, apa guna mendapat keuntungan yang banyak tetapi tidak berzakat. Tanpa zakat tidak berkatlah harta kita,'' katanya.



--- BERNAMA