Satu video berdurasi empat minit 28 saat menunjukkan pengunjung teruja dengan kehadiran Dr Mahathir dengan berteriak memanggil 'Tun'.
Dr Mahathir juga sempat berjumpa dan beramah mesra dengan orang ramai pada sekitar jam 9 pagi.
Kelihatan orang ramai yang menantikan pertunjukkan sempena Hari Kebangsaan juga tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan berswafoto dengan Dr Mahathir.
Dalam masa sama menerusi video tersebut, Dr Mahathir dilihat bergambar berlatar belakang aset negara yang ketika itu sedang melakukan perarakan.
Sambutan Hari Kebangsaan 2024 berlangsung pada 31 Ogos 2024 dengan tema 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' di Dataran Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, bermula jam 7 pagi.
Acara gilang-gemilang itu menyajikan perbarisan dan perarakan membabitkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.
Seperti kebiasaan sambutan Hari Kebangsaan, pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menggamatkan ruang udara Putrajaya dengan deruan enjin jet pejuang seperti Sukhoi SU-30, F/A 18D Hornet dan Hawk MK 208.
Selain itu, bakal dipertontonkan persembahan tempur tanpa senjata daripada 250 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang penuh aksi dan bertenaga yang pastinya memukau para pengunjung. - Sinar Harian