KUALA LUMPUR: Tumpuan Belanjawan 2023 kepada kemampanan dan pendigitalan akan mengukuhkan pertumbuhan dan daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain memastikan ekonomi teguh pada masa depan.

Dalam kenyataan pada Jumaat, CIMB Group berkata tumpuan itu sejajar dengan agenda dan aspirasi kemampanan kumpulan untuk menjadi peneraju kemampanan di ASEAN, apabila ia mengiktiraf peranan penting institusi kewangan untuk memangkin dalam melaksanakan amalan sejajar dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Kami gembira menyaksikan sokongan pembiayaan untuk syarikat pemula dan PKS.

"Ini termasuk pembiayaan sebanyak RM2 bilion untuk menyokong syarikat pemula teknologi mampan dan membantu PKS melaksanakan amalan rendah karbon serta RM1 bilion untuk membantu PKS mengautomasikan proses perniagaan dan mendigitalkan operasi mereka," katanya.

Kumpulan itu turut mengalu-alukan cadangan pengurangan cukai ke atas perbelanjaan penyenaraian untuk pasaran ACE dan LEAP menjelang 2025, perbelanjaan penyenaraian syarikat berasaskan teknologi di pasaran utama Bursa Malaysia dan kelonggaran proses penyenaraian sekunder untuk instrumen pasaran swasta bagi meningkatkan kecairan.

"Pengenalan penyenaraian saham dwi kelas juga merupakan perkembangan yang menggalakkan untuk memacu penyenaraian syarikat teknologi pertumbuhan tinggi di peringkat domestik.

"Melalui CIMB Investment Bank, kami akan terus memainkan peranan kami untuk mempromosikan pasaran modal yang lebih berdaya tahan.

"Kami turut mengalu-alukan langkah menaikkan siling pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) kepada RM300,000, yang akan meningkatkan pemilikan dan penyertaan ekuiti Bumiputera dan, dalam jangka panjang, membantu menjamin daya tahan kewangan mereka," katanya.

Berdasarkan ekonomi Malaysia yang terus pulih, CIMB Group berkata pendekatan berhemat, bersasar dan inklusif yang diambil memberikan keseimbangan optimum untuk membantu orang ramai dan perniagaan menghadapi persekitaran yang tidak menentu.

-- BERNAMA