Beliau berkata sektor makanan di Pakistan mengalami pertumbuhan yang luar biasa, pada masa ini ia bernilai AS$115 bilion (AS$1 = RM4.50) dan diunjurkan berkembang pada kadar 7.5 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Perkembangan ini menyerlahkan peluang minyak sawit Malaysia dan lemak khusus berasaskan sawit untuk menjadi bahan penting dalam memacu inovasi dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi penggunaan termaju dalam sektor yang berkembang pesat ini," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Minyak Makan Pakistan Ketujuh di Karachi hari ini.
Johari berkata Pakistan menggunakan lebih lima juta tan minyak dan lemak setiap tahun, dengan minyak sawit menjadi komponen utama dalam pembuatan makanan, serta dalam industri penjagaan diri dan oleokimia.
"Kepakaran kami dalam membangunkan formulasi tersuai membolehkan pengeluar meningkatkan kualiti produk dan memenuhi permintaan unik pasaran Pakistan yang semakin berkembang dengan berkesan," katanya.
Johari turut menekankan perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara dengan menyatakan Pakistan mengimport 798,000 tan minyak sawit Malaysia.
Selain sektor makanan, beliau berkata terdapat potensi besar untuk mengembangkan penggunaan oleokimia berasaskan sawit dalam industri penjagaan diri dan isi rumah di Pakistan.
"Kemajuan Malaysia dalam teknologi oleokimia dan amalan mampan menawarkan peluang terbaik untuk memperkenalkan bahan mentah premium bagi produk-produk seperti sabun, kosmetik dan barangan isi rumah, menyumbang kepada kepelbagaian dan keupayaan pembuatan Pakistan.
"Bagi memanfaatkan potensi ini lagi, saya menggalakkan industri di Pakistan untuk menumpukan kepada memperluaskan import produk siap dan berbungus berasaskan sawit di samping perdagangan pukal," katanya.
"Dengan membina hubungan kerjasama yang sudah kukuh antara kedua-dua negara, pendekatan ini akan membolehkan kita memajukan lagi perkongsian sedia ada dan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan dalam sektor minyak sawit," katanya.
Sementara itu, Johari memuji usaha sama antara Malaysia dan Pakistan, khususnya kemudahan penapisan dan penyimpanan di Pelabuhan Qasim yang disifatkannya sebagai bukti perkongsian kukuh antara kedua-dua negara.
"Kehadiran jangka panjang Malaysia dalam industri minyak dan lemak Pakistan memberikan kami platform yang hebat untuk meneroka peluang-peluang baharu dan memajukan lagi matlamat bersama," tambahnya.
Johari juga menyentuh semakan yang berterusan mengenai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA), yang bertujuan membuka lebih banyak peluang perdagangan antara kedua-dua negara.
"Semakan ini akan memastikan kedua-dua negara mendapat manfaat sepenuhnya daripada perkongsian ekonomi yang semakin meningkat," katanya.
--BERNAMA