Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa hari ini menyifatkan dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah rasuah sebagai tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata kerajaan melaksanakan BR1M selepas menerima perakuan Bank Negara Malaysia dan proses pengagihan bantuan itu dibuat secara telus kepada penerima.

"...eloklah polemik berbaur politik dan kepentingan diri ini dihentikan. Jangan hasut rakyat dengan perkara yang tidak benar dan janganlah amal politik kebencian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolah Yayasan Pelajaran MARA (YPM) kepada 3,200 murid Tahun Satu dari 22 sekolah di Parlimen Ketereh di sini, pada Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan Dr Mahathir mendakwa BR1M adalah satu bentuk rasuah, dan dengan itu, pemberiannya adalah salah di sisi undang-undang atau satu jenayah.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata Mahathir sebenarnya tidak mempunyai sebarang locus standi untuk membuat sebarang kenyataan berhubung kepentingan rakyat kerana beliau bukan Anggota Parlimen.

"Mahathir tidak mempunyai locus standi kerana beliau bukan seorang wakil rakyat, malah semua perkara yang dilakukan oleh kerajaan dibentang di Parlimen," kata Annuar. - BERNAMA