PENGUMUMAN  pelaksanaan  sekatan  pergerakan  penuh  (lockdown)  baru-baru  ini,  bermula  1 Jun 2021 telah mencetuskan kebimbangan dan tekanan dalam kalangan rakyat Malaysia pada waktu yang  mencabar  ini.  Adalah  penting bagi  kita  untuk  bersama  berganding bahu membendung penyebaran wabak ini dengan mematuhi arahan untuk duduk di rumah dengan sebaiknya.

“Meskipun penggunaan elektrik mungkin meningkat rentetan lebih banyak masa dihabiskan di kediaman masing-masing semasa tempoh sekatan ini, pelanggan mempunyai pilihan untuk memantau dan mengurus penggunaan peralatan elektrik di kediaman mereka bagi mengelak pembaziran  tenaga. Ini  termasuklah  menutup  suis  peralatan  apabila  tidak  digunakan  dan mengamalkan  tip kecekapan  tenaga  apabila  menggunakan  peralatan yang menggunakan tenaga yang banyak seperti alat pemanas air, alat pendingin hawa, mesin basuh dan lampu.

Untuk lebih 1.2   juta   pengguna   TNB  yang mempunyai meter pintar,  mereka  boleh memanfaatkan  maklumat  harian mengenai penggunaan elektrik yang  tersedia di  aplikasi myTNB  bagi memantau penggunaan elektrik di kediaman,” kata Chief Retail Officer TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Bagi mengurangkan peningkatan, pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah kecekapan tenaga berikut:
  1. Mematikan komputer selepas  digunakan  dan  berhenti  mengecas komputer  riba selepas bateri dicas sepenuhnya. Pastikan suis dimatikan selepas penggunaan aksesori seperti pembesar suara, mesin pencetak dan pengimbas;
  2. Memastikan  semua  pintu, tingkap dan laluan udara ditutupkan sepenuhnya semasa menggunakan alat pendingin hawa supaya udara sejuk tidak keluar dari bilik. Gunakan kipas  untuk  membantu  menyejukkan bilik supaya  termostat  alat  pendingin  hawa boleh  dilaraskan  lebih  tinggi  (antara  24  hingga  26  darjah  Celsius) bagi  penggunaan elektrik yang cekap;
  3. Tetapkan   pemasa  untuk  mematikan alat pendingin hawa bagi mengurus dan menjimatkan  tenaga. Sebelum tidur, cuba tetapkan ia untuk  ditutup beberapa jam selepas digunakan untuk penggunaan elektrik yang lebih cekap;
  4. Bersihkan penapis alat pendingin hawa untuk mengoptimumkan proses penyejukan. Habuk pada penapis mengurangkan peredaran udara dan menjejaskan kecekapan alat pendingin hawa;
  5. Manfaatkan cahaya semula jadi bagi mengurangkan kos penggunaan lampu;
  6. Penggunaan  air panas semasa mencuci  pakaian (dengan muatan penuh) menggunakan lebih banyak tenaga kerana ia mengambil masa untuk air dipanaskan;
  7. Apabila menggunakan ketuhar elektrik, membuka dan menutup pintu ketuhar dengan kerap   tidak   akan   mempercepatkan  masa hidangan dimasak bahkan ia akan menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih banyak  untuk mengekalkan  suhu ketuhar;
  8. Mematikan suis dan menanggalkan plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan. Televisyen, kotak  dekoder  (set-top  boxes)  seperti Astro dan modem yang tidak dimatikan boleh meningkatkan penggunaan elektrik dalam jangka masa yang panjang; dan
  9. Masa mandian yang panjang dengan alat pemanas air menggunakan lebih banyak tenaga untuk memanaskan air secara berterusan.
Maklumat lanjut berkaitan cara-cara penggunaan elektrik yang berhemat boleh didapati pada portal  myTNB https://www.mytnb.com.my .Pengguna  juga  boleh  memantau  penggunaan alat elektrik di kediaman menerusi MAEVi, layari https://maevi.my!

Bagi pertanyaan bil, pelanggan boleh menghubungi TNB CareLine pada talian 1300-88-5454 dan menerusi Facebook TNB CareLine dan Twitter @ Tenaga_Nasional.