KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma pada 29 dan 30 Oktober ini bagi membolehkan pengguna lebuh raya berbilang kaum terutamanya masyarakat India beragama Hindu untuk menyambut perayaan Deepavali.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, pemberian tol percuma ini akan dilaksana di semua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam 29 Oktober (Selasa) dan akan berakhir pada 11.59 malam 30 Oktober 2024 (Rabu).

"Kos pemberian pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta akan ditanggung oleh Kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.

"Pengecualian tol akan diberikan hanya kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.

"Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia MADANI iaitu kesejahteraan dan ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat di samping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” jelas beliau.

Alexander Nanta, mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon supaya semua pengguna jalan raya memandu dengan berhemah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.

"Berehatlah jika keletihan dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia," kata Alexander Nanti menitip nasihat.