BERIKUT adalah jawapan kepada 10 soalan berhubung Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini:

1. Apakah Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Kerajaan – MyDIGITAL yang dilancarkan oleh
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari 2021?


Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Kerajaan MyDIGITAL, merupakan agenda kerajaan yang merangkumi pelbagai aspek, untuk menggerakkan usaha-usaha pendigitalan di Malaysia.


Misi utama agenda ini adalah untuk memperkasakan setiap rakyat Malaysia, dari Perlis ke Johor hingga ke Sabah, untuk terlibat dalam ekonomi digital dan sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Dalam merealisasikan agenda tersebut, Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia antara lain telah memperkenalkan beberapa inisiatif:

• Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memantapkan kesalinghubungan atau connectivity sedia ada. Rangkaian gentian optik talian tetap ini akan meliputi hampir 100 peratus kawasan berpenduduk secara berperingkat daripada 7.5 juta premis di hujung tahun 2022 kepada 9 juta premis menjelang penghujung tahun 2025.

• Perlaksanaan 5G ke seluruh negara. Usaha ini akan dilaksanakan melalui sebuah entiti khusus atau special purpose vehicle (SPV) yang dimiliki oleh kerajaan. Entiti ini seterusnya akan diberikan spektrum yang bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G.

Cloud Service Provider (CSP) atau penyedia perkhidmatan awan. Pusat data yang berskala-hiper ini serta perkhidmatan awan hibrid atau hybrid cloud services, juga akan diwujudkan untuk menambah ruang penyimpanan data, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan analisis.

Inisiatif-inisiatif ini ibarat kenderaan yang akan membawa Malaysia ke arah pendigitalan dan secara langsung menyumbang ke arah menjadikan Malaysia negara maju yang dipacu oleh ilmu dan teknologi baharu.

Anjakan pendigitalan ini bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia, malah transformasi ini telah pun bermula sejak tahun 1996 lagi dengan penubuhan Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC).

Semua inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan kepada semua rakyat Malaysia agar mereka mendapat manfaat daripada teknologi digital sepenuhnya dan cekal mendepani peralihan ke arah mengadaptasi ekonomi digital secara menyeluruh.

2. Boleh YB ulaskan lebih lanjut berkenaan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital?

Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia adalah dokumen komprehensif yang menggariskan usaha dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.

Rangka tindakan ini menetapkan trajektori sumbangan ekonomi digital kepada ekonomi Malaysia dan membina asas untuk memacu pendigitalan di seluruh negara, termasuk dalam merapatkan jurang digital.

Rangka tindakan ini turut mendukung agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan (SDG 2030) dan RMK-12.

Ia melengkapi ketiga-tiga agenda tersebut serta mengemaskan gerak kerja kerajaan untuk terus kehadapan
dengan berteraskan tiga prinsip iaitu:

• Inklusiviti, untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan akibat pendigitalan;

• Etika, untuk memastikan data dan peralatan digital digunakan secara beretika;

• Keyakinan, untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital tanpa mengabaikan keselamatan siber.

Secara amnya, dasar ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memanfaatkan kemajuan teknologi, meningkatkan keupayaan tempatan yang merangkumi kesiapsiagaan yang selari dengan Revolusi Industri Keempat di semua sektor serta mengoptimumkan penggunaan teknologi untuk pembangunan yg inklusif, bertanggungjawab dan mampan.

Rangka tindakan ini menyediakan garis panduan yang mendorong digitalisasi di seluruh negara, termasuk merapatkan jurang digital antara kampung dan bandar, serta generasi tua dan generasi muda contohnya.

Dengan itu, negara kita akan mampu menyediakan ekosistem yang kondusif untuk mempercepat digitalisasi melalui penerimagunaan teknologi dan memudahkan kemunculan model perniagaan baharu.

Kita juga berharap dengan adanya rangka tindakan ini, proses transformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpaksikan teknologi dan pendigitalan, serta menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital akan dapat dicapai.

3. Mengapakah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia amat diperlukan sekarang
ini?


Kerajaan maklum betapa besarnya agenda pendigitalan ini kerana kami telah meneliti keseluruhan perjalanan pendigitalan negara dari tahun 1996 dan kita juga telah mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

Pandemik COVID-19 pula menyedarkan kita akan kepentingan usaha pendigitalan ini disegerakan bukan sahaja untuk kita bangkit semula dari segi ekonomi setelah berhadapan dengan pandemik ini, malah lebih dari itu, agar kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua krisis di masa hadapan.

Pengalaman ini turut menyedarkan kita akan beberapa kelemahan dan jurang dalam struktur ekonomi kita yang perlu ditangani dengan segera.

Sebagai contoh, pandemik COVID-19 ini memberikan kesan kepada kumpulan B40 lebih daripada kumpulan T20 dan M40. Kita juga dapat lihat bahawa PKP yang dilaksanakan memberikan kesan yang sangat besar kepada perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berbanding syarikat-syarikat besar.

Realitinya, kebanyakan pemilik perniagaan tradisional atau brick and mortar terpaksa menutup perniagaan mereka sewaktu PKP kerana selama berbulan-bulan lamanya, mereka tidak dapat menjana sebarang pendapatan.

Namun pada masa yang sama, mereka masih perlu membayar gaji pekerja dan sewa. Ini secara langsung telah menyebabkan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.

Kebanyakan daripada mereka mempunyai literasi digital yang rendah, maka tidak mudah untuk mereka beralih kepada ekonomi digital dengan pantas.

Pandemik COVID-19 juga telah mempercepatkan peralihan ekonomi ke arah pendigitalan.

Kita tidak ada pilihan lagi melainkan mengorak langkah mengharungi arus global ini. Secara ringkasnya, agenda ekonomi digital ini digerakkan untuk menambah baik kualiti hidup rakyat, meningkatkan produktiviti perniagaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

4. Apakah antara intipati dan potensi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia?
Antara sasaran utama Rangka Tindakan ini adalah seperti berikut:


Kepada rakyat:

• 500,000 pekerjaan baharu diwujudkan

• 100% isi rumah mandapat capaian kepada internet

• Semua pelajar mempunyai akses kepada pembelajaran dalam talian

Sasaran-sasaran ini melihat kepada kehidupan rakyat yang boleh meningkatkan tahap mobiliti
dan taraf hidup mereka.

Sebagai contoh peluang pekerjaan baharu yang bakal dijana lebih-lebih lagi dalam bidang teknologi maklumat ataupun kepakaran digital memberikan harapan kepada rakyat umumya kerana ia merupakan pekerjaan masa hadapan (jobs of the future) yang akan kekal relevan dan diperlukan walau dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi.

Ini sekaligus dapat meningkatkan peratusan tenaga kerja mahir selari dengan keperluan negara untuk maju dalam bidang teknologi dan Malaysia kekal kompetitif di arena global.

Selain itu, bagi anak-anak di kampung yang sekarang ini mempunyai masalah akses internet yang kurang stabil.

Dengan adanya akses internet berkelajuan tinggi, mereka dapat menikmati pendidikan dalam talian yang lebih berkualiti.

Malaysia adalah antara negara tertinggi dari segi penggunaan internet, jauh lebih tinggi berbanding Thailand dan Singapura. Malah, dalam waktu pandemik Covid-19, penggunaan data internet di Malaysia dianggarkan meningkat sebanyak 30%. Maka kerajaan melihat kepentingan untuk memperkasakan komuniti perniagaan.

Antara sasaran lima tahun bagi sektor perniagaan:

• 22.6% sumbangan ekonomi digital kepada KDNK Malaysia

• 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima guna e-dagang

• Menarik 2 syarikat unikorn

• Meningkatkan bilangan syarikat peringkat permulaan kepada 5,000 syarikat

• RM70 bilion pelaburan dalam pendigitalan

Sektor perniagaan dijangka berkembang dengan lebih pesat seiring persaingan di peringkat global. Ini dapat memberi peluang kepada perniagaan tempatan untuk menembusi pasaran tglobal dan membuka peluang untuk mereka menjadi lebih kompetitif melalui pendigitalan.

Bagi pihak kerajaan pula, kami turut melihat kepentingan untuk menambahbaik mutu penyampaian perkhidmatan. Bayangkan tiada lagi isu untuk beratur panjang dan pengurangan waktu menunggu.

Oleh itu untuk kerajaan, sasaran-sasaran yang ditetapkan adalah seperti berikut:

• 100% penjawat awam celik digital pada tahun 2025

• Semua kementerian dan agensi menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai menjelang tahun 2022

• 80% perkhidmatan kerajaan dalam talian dari peringkat awal ke akhir menjelang tahun 2025

• 80% penggunaan storan pengkomputeran awan merentas sektor awam pada tahun 2022

Melalui rangka tindakan ini, kerajaan telah pun meneliti setiap segmen masyarakat dan mengenal pasti penambahbaikan yang diperlukan untuk agenda ini. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Usaha-usaha ini memerlukan pendekatan menyeluruh negara atau whole of nation approach, seperti yang disebut oleh Perdana Menteri dalam amanat beliau.

Setiap daripada kita mempunyai peranan dalam menjayakan ekonomi digital Malaysia ini.

5. Boleh YB terangkan bagaimanakah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia akan memanfaatkan Rakyat keseluruhannya?

Antara perkara yang paling penting yang disasarkan oleh rangka tindakan ini adalah untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia – antara bandar dan desa, generasi muda dan tua contohnya.

Tambahan pula, pandemik COVID-19 menyedarkan kita bahawa penerima gunaan teknologi digital yang berupaya membantu melindungi rakyat daripada risiko ekonomi digital, perlu disegerakan.

Kita dijangka dapat melihat perubahan landskap ekonomi digital ke arah peningkatan literasi digital, kewujudan pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi, pengurusan perbankan dan kewangan yang lebih mudah dan teratur, akses yang lebih baik bagi pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta kemudahan mobilisasi perubatan ke pekan terpencil.

Contohnya, untuk menjalankan perniagaan pada zaman ini, tidak perlu lagi menyewa kedai, tetapi boleh berniaga secara digital sahaja; buka kedai dalam talian atau online di Facebook, Instagram atau WhatsApp sahaja, promosi produk atau perkhidmatan secara dalam talian.

Seluruh rantaian bekalan ini dapat bergerak secara digital sepenuhnya. Rangka tindakan ini adalah untuk rakyat dan segala yang digariskan dalam dokumen ini memberi penekanan kepada nilai yang berpaksikan kemanusiaan, yang akan memanfaatkan semua, tidak kira masyarakat, perniagaan mahupun kerajaan.

6. Apakah antara strategi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dalam memastikan
visi ekonomi digital dapat dicapai?


Secara amnya, Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia menggariskan tiga objektif
iaitu:

• Menggalakkan pemain industri menjadi pencipta, pengguna dan yang menerima guna model perniagaan inovatif di bawah ekonomi digital

• Memanfaatkan modal insan yang boleh berjaya dalam ekonomi digital

• Mewujudkan ekosistem yang bersepadu bagi membolehkan masyarakat menguasai ekonomi digital

Bagi menjamin kejayaan aspirasi ini, kerjasama antara kementerian juga memainkan peranan yang amat penting. Kerajaan juga menetapkan 6 teras, 22 strategi dan 76 inisiatif, di mana 48 adalah inisiatif nasional dan 28 adalah inisiatif sektor.

.

Enam kluster yang dipengerusikan oleh Menteri dan Ketua Setiausaha Negara menerajui pelaksanaan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.

Enam kluster tersebut adalah:

• Bakat Digital – Menteri Sumber Manusia

• Infrastruktur Digital dan Data – Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia

• Teknologi Baru Muncul – Menteri Sains Teknologi dan Inovasi

• Ekonomi – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

• Masyarakat – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat

• Kerajaan – Ketua Setiausaha Negara (KSN)

Keenam-enam kluster ini akan menyediakan sokongan pakar dan teknikal bagi pembangunan dan hala tuju dasar dalam bidang berkaitan ekonomi digital dan Revolusi Industri Keempat.

Inisiatif-inisiatif dalam Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia akan dipantau oleh urus setia daripada setiap kluster berkaitan yang secara keseluruhannya akan dipantau oleh Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik atau Strategic Change Managemnet Office (SCMO).

SCMO juga akan bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Pemandu kepada Majlis Ekonomi Digital dan 4IR bersama-sama dengan wakil kementerian dan agensi pelaksana, dan wakil daripada sektor swasta, ahli akademik dan masyarakat sivil. SCMO akan ditubuhkan pada akhir bulan Mac 2021.

Keselamatan siber serta peraturan dan undang-undang berkaitan digital yang merupakan komponen penting bagi semua pihak juga akan diteliti dan diperhalusi. Komponen ini akan dipertanggungjawabkan kepada Kluster Kerajaan, di bawah kawal selia KSN.

7. Apakah peranan Unit Perancang Ekonomi dalam pelaksanaan Rangka Tindakan (Blueprint)
Ekonomi Digital Malaysia?


Unit Perancang Ekonomi akan menyelia Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik atau SCMO. SCMO akan menjalankan tiga peranan iaitu melaksanakan pengurusan perubahan bagi Dasar 4IR Negara dan Blueprint Ekonomi Digital Malaysia, memantau kemajuan dan menilai prestasi inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan, terutamanya bagi memupuk pemikiran digital dan inovatif di kalangan rakyat, serta berperanan sebagai urus setia Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.

8. Apakah jangka masa yang kerajaan peruntukkan untuk perlaksanaan Rangka Tindakan
(Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia?


Pelaksanaan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia terbahagi kepada tiga fasa:

• Fasa 1: Mempercepatkan penerimagunaan bagi memperkukuh asas digital (2021-2022)

• Fasa 2: Memacu transformasi dan keterangkuman digital (2023-2025)

• Fasa 3: Menjadi pengeluar produk digital dan penyedia penyelesaian digital bagi pasaran serantau (2026-2030)

Walaupun pendigitalan bukanlah sesuatu yang baharu tetapi kita harus memperkukuhkan lagi asas digital kita dengan lebih agresif dan bersepadu.

Fasa 1 memberikan penekanan yang holisitik dengan data dan kecerdasan digital dijadikan sebagai nadi bagi memperkasakan ekonomi digital di Malaysia.

Fasa ini juga merupakan fasa merangka kerja kawal selia yang kondusif bagi mempercepat pembangunan infrastruktur digital, seperti transformasi MAMPU dalam menjadi agensi tunggal yang bertanggungjawab dalam mendorong agenda transformasi digital sektor awam dan pelaksanaan pembangunan infrastruktur jalur lebar yang lebih pantas dan meluas.

Fasa 1 juga menitikberatkan peningkatan keyakinan untuk menggunakan teknologi oleh semua lapisan masyarakat seperti peningkatan literasi dan kemahiran digital, penerimaan teknologi digital dari sektor swasta, akademia dan CSO dan memrealisasikan persekitaran tanpa tunai dengan kemudahan pembayaran elektronik.

Kejayaan fasa 1 akan dijadikan asas bagi fasa-fasa yang seterusnya.

Dalam Fasa 2, kerajaan akan melihat ke arah strategi pendigitalan terangkum di mana usaha-usaha kerajaan akan difokuskan ke arah penglibatan digitalisasi pada skala yang lebih besar.

Menerusi inisiatif seperti e-kerajaan contohnya, kerajaan menyasarkan 80 peratus perkhidmatan kerajaan dari peringkat awal hingga akhir di atas talian.

Fasa 2 juga akan memperkasakan sektor swasta dengan modal insan yang cekap dan memantapkan undang-undang untuk menggalakkan inovasi dalam bidang perniagaan seperti sektor ekonomi gig.

Fasa 3 akan memetakan laluan untuk pertumbuhan mampan yang kukuh dalam dekad mendatang, memberi kelebihan daya saing buat Malaysia menjadi pengeluar produk digital bagi pasaran
serantau dan penyedia penyelesaian bagi pelbagai cabaran digital yang lebih dikagumi.

9. Apakah impak yang bakal diperolehi daripada Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital ini?

Di peringkat nasional, ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2025.

Pada masa yang sama, pelan ini juga menyasarkan untuk menghasilkan 500, 000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital.

Ini dapat memberikan peluang kepada mereka yang berani merebut cabaran pendigitalan dengan menerima dan menyesuaikan diri dengannya, mendapat manfaat dari segi peningkatan taraf hidup.

Sementara itu, kerajaan juga akan memudah cara dalam memastikan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima guna e-dagang.

Selain itu, inisiatif-inisiatif di bawah MyDIGITAL ini juga dapat memangkin 5,000 syarikat peringkat permulaan atau startups dalam masa lima tahun akan datang dengan sasaran menarik unikorn untuk beroperasi di sini, kerana kesan limpahannya sangat luar biasa.

Kita dapat membuka peluang pekerjaan baharu dan pekerjaan mahir berpendapatan tinggi.

Apabila unikorn ini berfungsi dengan baik, mereka juga menyumbang kepada aliran tunai dalam negara.

Inisiatif ini juga akan menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baru dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negeri.

Seterusnya, kerajaan menyasarkan 30 peratus peningkatan produktiviti dalam semua sektor menjelang tahun 2030.

Bagi sektor awam pula, semua agensi akan menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai sebagai pilihan utama menjelang tahun 2022.

10. Apakah harapan YB kepada rakyat dalam usaha mereka menerokai dan memahami Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia ini?

Hakikatnya, kita tiada pilihan selain menerima dan menggunapakai teknologi digital. Baik kerajaan, perniagaan mahupun setiap dari rakyat tanpa mengira apa jua demografi dan latar belakang perlu memanfaatkan teknologi digital dalam segenap aspek kehidupan.

Aspirasi MyDIGITAL yang digagaskan hari ini hanya akan menjadi reality sekiranya setiap dari rakyat
Malaysia serta pihak swasta dan juga kerajaan komited dalam menyahut seruan ini dan melaksanakan peranan masing-masing.

Jika tidak, kita akan ketinggalan. Dan negara juga tidak akan mampu mencapai matlamatnya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.

Atas sebab itulah, Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia ini dirangka dengan mengambilkira setiap dari rakyat Malaysia. Tua ataupun muda, di bandar ataupun desa, apa jua tahap pendidikan atau kerjaya Rangka Tindakan adalah untuk setiap dari kita. There’s in it for everyone!

Justeru, saya menyeru setiap rakyat Malaysia untuk merebut segala ruang dan peluang yang ada, yang terkandung di dalam rangka tindakan ini, dan manfaatkannya dengan sebaik-baiknya.

InshaAllah, dengan memanfaatkan segala peluang pendigitalan yang ada serta berkat usaha bersama, kita akan dapat meningkatkan taraf hidup setiap rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama, saya amat mengalu-alukan pandangan dan maklum balas dari semua pihak terhadap rangka tindakan ini dan segala perancangan dan strategi yang terkandung di dalamnya.

Pandangan dan maklum balas daripada semua pihak akan membantu memastikan rangka tindakan ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan aspirasi MyDIGITAL juga akan terlaksana.