KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan perlu meningkatkan kepercayaan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan membuktikan projek pembangunan terutama di luar bandar berjaya memenuhi keinginan rakyat.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berpendapat, isu sokongan tidak perlu menjadi kebimbangan menjelang PRN sekiranya kerajaan yakin pelaksanaan pembangunan di kawasan luar bandar memberikan pulangan kepada rakyat.

“Sudah pasti rakyat perlu mempunyai kepercayaan bahawa program yang dilaksanakan itu berjaya mencapai hasrat serta memenuhi apa yang dihasratkan kerajaan terutama bagi menjaga kesejahteraan masyarakat.

“Jadi bagi saya, ini sesuatu perkara yang amat penting untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat terutama menjelang PRN. Sekiranya kerajaan percaya program dan agenda mereka membuahkan hasil, ia memberikan kesan terutama meningkatkan sokongan rakyat,” katanya di dalam program Pantau Agenda Reformasi di Astro AWANI pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Ahmad turut memuji usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak membawa perubahan dalam membantu masyarakat luar bandar melalui projek pembangunan terutama di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu termasuk Kedah dan Perlis.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan meskipun Kerajaan Perpaduan memiliki dua pertiga majoriti namun ia bukan jaminan bahawa kerajaan ketika ini kukuh dan dalam zon selesa.

“Bagi saya pada ketika ini, ini adalah cabaran utama, walaupun mempunyai dua pertiga majoriti namun kerajaan tidak boleh menganggap ia sesuatu yang kukuh. Bagaimanapun sokongan dan kepercayaan terhadap kerajaan perlu giat dipertingkatkan lagi,” jelasnya.

Pantau Agenda Reformasi: Strategi pasca mesyuarat perundingan pimpinan Kerajaan Perpaduan