Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris berkata mereka yang terkorban dalam kemalangan pada 4.50 pagi itu ialah pasangan suami isteri Kamarudin Ibrahim, 55, dan Maimunah Mat Isa, 54, serta anak mereka Nur Ardieana Kamarudin, 30, yang memandu kenderaan itu.
"Maimunah dan Nur Ardieana maut di tempat kejadian manakala Kamarudin disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Setiu.
"Seorang lagi anak pasangan terbabit Nur Azwa Shamimi Kamarudin, 21, yang duduk di kerusi penumpang belakang sebelah kiri mengalami kecederaan parah manakala pemandu dan seorang penumpang kenderaan Toyota Hilux pula mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila Toyota Hilux dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki empat beranak itu.
"Ketika kejadian, empat beranak berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Jalan Telipot, Kota Bharu.
"Kesemua mangsa yang terkorban dihantar untuk bedah siasat di unit Forensik Hospital Setiu manakala yang cedera turut dihantar ke hospital sama," katanya.
Mohd Zain berkata pemandu Toyota Hilux berusia 24 tahun yang bekerja sebagai penjual sayur ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA