Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan tiga lagi kluster baharu dikesan di negara ini.

Ia masing-masing membabitkan Kluster Rumah Kongsi Sepang, Selangor; Kluster Restoran Brickfields, Kuala Lumpur; serta Kluster Jeti Kuching, Sarawak.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Kluster Rumah Kongsi Sepang dikesan di sebuah tapak pembinaan, di mana dua individu disahkan positif COVID-19, setakat Ahad.

Sementara, seramai 94 individu lagi disahkan negatif COVID-19 selepas menjalani ujian COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata kesemua mereka masing-masing terdiri daripada sembilan rakyat Malaysia, dan 87 lagi bukan warganegara.

"(Daripada jumlah bukan warganegara), seramai 63 adalah warga Indonesia; 22 (Bangladesh); dan dua (Myanmar).

"Kluster ini melibatkan dua bukan warganegara iaitu satu warga Indonesia yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8739) dan satu warga Bangladesh yang merupakan kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini," katanya dalam kenyataan tersebut.

Bagi Kluster Restoran Brickfields, Kuala Lumpur pula, Dr Noor Hisham berkata ia dikesan hasil saringan rawak di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Setakat Ahad, seramai 250 orang terdiri daripada 14 pekerja restoran dan 236 pelanggan restoran telah menjalani ujian saringan, tambahnya.

Hasil ujian saringan ke atas mereka, KKM berjaya mengesan dua kes positif COVID-19, sementara 248 lagi disahkan negatif.

"Kluster ini melibatkan dua bukan warganegara, iaitu warga India yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8666) dan kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini," katanya.

Dalam pada itu, jelas Dr Noor Hisham, dua kes positif COVID-19 direkodkan membabitkan kluster ketiga iaitu Kluster Jeti Kuching.

"Sehingga 19 Julai jam 12 tengah hari, 25 orang nelayan telah disaring dan keputusan persampelan setakat ini adalah dua kes dikesan positif COVID-19; dan 23 adalah negatif.

"Kluster ini melibatkan dua bukan warganegara, iaitu warga Indonesia yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8736) dan kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini," katanya.

Setakat ini, Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan ketiga-tiga kluster tersebut masih dalam siasatan.