Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan wabak COVID-19 sebagai jangkitan luar biasa menggesa rakyat Malaysia supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Beliau memberitahu, pengasingan diri dengan tidak keluar dari rumah adalah pilihan terbaik untuk memutuskan rantaian penularan wabak pandemik itu di negara ini.

"Penyakit ini luar biasa dari segi jangkitan, dulu kita ada SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) dan H1N1 (Influenza A) tetapi kali ini kita tengok belum ada vaksin atau ubat yang boleh menghalang penyakit ini daripada merebak," katanya dalam video Pesanan Dr Mahathir kepada rakyat Malaysia mengenai lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dimuat naik di laman sosialnya hari ini.

Vide berdurasi selama 188 saat itu disiarkan di laman YouTube rasmi beliau, Chedet Official, pada Khamis.



Dr Mahathir menambah, meskipun arahan ini menghalang kebebasan orang ramai untuk bergerak seperti dahulu namun ia adalah tindakan untuk kesejahteraan orang ramai dalam membendung wabak ini daripada terus merebak.

"Kalau kita tidak berjaga-jaga, tak pisahkan diri daripada rakan-rakan dan terus keluar rumah, maka kemungkinan penyakit ini akan berterusan sehingga ramai antara rakyat Malaysia akan menghidap penyakit ini.

"Sebab itu, cara yang terbaik adalah dengan mengasingkan diri kerana wabak itu tidak akan menjangkiti orang lain," ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai supaya berdisiplin kerana sekiranya gagal pada arahan itu, penyakit itu akan berterusan dan lambat-laun akan terkena pada diri sendiri.

Dr mahathir juga berharap tempoh perintah ini akan dimanfaatkan untuk melakukan sesuatu yang berfaedah untuk mengelakkan kebosanan duduk di rumah.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini susulan kes positif COVID-19 ang semakin merebak di Malaysia.