KUALA KANGSAR: Seorang peniaga yang memukul dan menolak isterinya ke dalam gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Julai lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat atas dua pertuduhan, mengugut dan cuba membunuh.

Tertuduh, Mohd. Azzuan Ahmad, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Bagi pertuduhan pertama, bapa lima anak itu didakwa menakutkan secara jenayah dengan ugutan hendak menyebabkan kematian terhadap isterinya pada malam 26 Julai lalu, ketika dalam kereta melalui Lebuhraya Utara Selatan menuju Kuala Kangsar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa cuba membunuh isterinya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan, di tepi jalan berdekatan Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik - Jeli antara jam 4 hingga 5 pagi, 27 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 19 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi.

Sebelum ini, media melaporkan, dalam kejadian sekitar jam 5 pagi, 27 Julai lalu, seorang wanita berusia 32 tahun nyaris maut di tangan suami sendiri akibat dipukul, dicekik dan ditolak ke dalam gaung selepas berlaku pertengkaran mulut.

Mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak naik dari gaung ke bahu jalan sebelum dijumpai orang awam sekitar jam 2 petang pada hari sama.

Tangkapan ke atas suspek telah dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah pada 31 Julai lalu selepas terdapat kes melibatkan lelaki itu bersabit mencederakan abang kandung di kawasan pentadbiran polis berkenaan.

Tangkapan semula dibuat polis Gerik dan suspek kemudiannya direman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Ogos lalu bagi siasatan lanjut.