Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Kerajaan tidak akan memberi subsidi kepada mereka yang berpendapatan tinggi.

Ujarnya, menerusi kajian yang dilakukan, terdapat juga segelintir mereka yang mempunyai sehingga enam buah kereta, termasuk kereta mewah masih menerima manfaat subsidi terutama subsidi petrol.

“Kita (Kerajaan) dapati, setelah dikaji, ada orang yang di bawah B40 (serta) yang memiliki enam kereta mendapat nikmat daripada subsidi yang kita beri kepada minyak.

“Sebab itu sekarang ini, kita beri cuma untuk satu kereta sahaja kalau dia di dalam golongan B40. Jadi kita tak boleh bagi subsidi kepada orang kaya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Isnin berkata, kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bakal menikmati manfaat daripada Program Subsidi Petrol (PSP).

Program subsidi petrol itu membabitkan kadar subsidi sebanyak RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 bagi motosikal yang akan dilaksanakan mulai Januari depan.