KUALA LUMPUR: Dua anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani berkata mereka bukan subjek dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Kertas Pandora serta Kertas Panama.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, Mirzan dan Mokhzani memaklumkan notis pengisytiharan harta mereka kepada SPRM adalah bagi siasatan yang sedang dijalankan terhadap Dr Mahathir.

"Ia tidak berkaitan dengan sebarang pendedahan dalam Kertas Pandora dan Kertas Panama.

"Seperti yang dinyatakan oleh (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam sidang media hari ini, kami sedaya upaya memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM untuk memastikan penyelesaian yang positif dapat dicapai," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Azam mengesahkan bahawa kedua-dua beradik sudah mengisytiharkan aset masing-masing dalam tempoh ditetapkan dan SPRM kini berhubung serta berkomunikasi dengan peguam mereka untuk mendapatkan maklumat tambahan dan penjelasan membabitkan pengisytiharan itu.

-- BERNAMA