BANGI: Pembangkang masih berbincang sama ada mahu menerima atau tidak Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan buat Ahli Parlimen pembangkang.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, masih terdapat beberapa syarat dalam MoU itu yang perlu diperhalusi sebaik mungkin.

Bahkan, beliau turut mempersoalkan mengapa isu Raja, agama dan kaum (3R) turut dimasukkan dalam memorandum tersebut.

“(Tapi ada sebut tak pasal sokong kerajaan?) Itu adalah, ada juga... dan sampai peringkat MoU ini berkuatkuasa sehingga akhir penggal ke-15, ada di sini disebut.

“Tapi itulah, kami belum buat keputusan lagi untuk terima atau tidak.

“Apa kena mengena peruntukan Ahli Parlimen dengan tempoh akhir Parlimen, kena sokong kerajaan sampai ke akhir.

“(Bila jangka buat keputusan?) Dalam waktu terdekat. Saya jangka dalam bulan September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sidang Kemuncak SG4 yang turut dihadiri Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Bangi pada Isnin.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, jumlah peruntukan pun tidak disebut dalam memorandum itu.

Selain itu, pengisytiharan harta juga antara syaratnya sedangkan pada hemat Takiyuddin, pengisytiharan sebegitu hanya perlu melibatkan anggota pentadbiran, seperti diamalkan kerajaan sebelum ini.