Kementerian Pengangkutan menegaskan tiada perancangan untuk menghentikan perkhidmatan bas pengantara khususnya di sekitar Lembah Klang.

Menterinya Anthony Loke berkata pihak kementerian juga sedang mencari jalan bagi mewujudkan satu sistem integrasi antara semua perkhidmatan bas awam.

“Kami juga berharap dapat melaksanakan sistem pas bulanan supaya semua perkhidmatan pengangkutan awam dapat menjadi sebahagian dalam sistem yang sama di Lembah Klang," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mempersoalkan keperluan menyediakan bas perantara ke stesen Transit Aliran Massa (MRT).

Tony juga mencadangkan supaya pengguna menggunakan perkhidmatan lain seperti e-hailing yang dikatakan lebih murah.

Bagaimanapun, Anthony menjelaskan apa yang dinyatakan Tony itu hanya sekadar cadangan dan kementerian tiada rancangan untuk batalkan perkhidmatan bas pengantara ini.

Anthony juga berkata pihaknya sedang berbincang dengan pihak kesatuan pemandu teksi tentang bagaimana perkhidmatan teksi dapat ditambah baik.

Malah, pihaknya turut mengalakkan persatuan pemandu teksi untuk membangunkan dan melancarkan aplikasi e-hailing tersendiri.