SEREMBAN: Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini memaklumkan tiada pelajarnya mengalami gejala keracunan makanan setakat ini seperti yang didakwa berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri ini semalam.

Mara dalam kenyataan hari ini menjelaskan ia berdasarkan pemantauan ke atas para pelajar institusi berkenaan, dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta pihak pengurusan MRSM juga telah membuat beberapa teguran terhadap pengusaha dewan selera terbabit.

"Tindakan segera telah diambil oleh MRSM dengan menghubungi PKD bagi menjalankan siasatan segera ke atas dewan selera berkenaan berhubung dakwaan itu.

"Pemeriksaan rapi mendapati prestasi kebersihan persekitaran adalah baik serta proses pengendalian makanan adalah mematuhi standard yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Semalam, tular hantaran oleh seorang wanita di Facebook yang meluahkan rasa kesal apabila dewan selera MRSM itu didakwa menghidangkan telur yang rosak kepada pelajar sehingga menyebabkan ada pelajar mengalami sakit perut dan cirit-birit.

Mara berkata pihaknya sentiasa memberikan keutamaan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan oleh pembekal makanan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menyediakan makanan bermasak untuk para pelajar.

Mara memandang serius berkaitan kes kebersihan penyediaan makanan, dan sentiasa prihatin dengan kebajikan serta keselamatan seluruh pelajar di institusi pendidikan Mara selain mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perkara seumpama itu berlaku.

Sehubungan itu, Mara meminta supaya ibu bapa tidak perlu merasa bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Susulan hantaran Facebook yang tular itu, Pengerusi Mara Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menerusi akaun Facebooknya telah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara mengambil tindakan tegas bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Beliau berkata tiada kompromi terhadap mana-mana kontraktor yang mengambil mudah dalam isu penyediaan makanan pelajar dan sekiranya kecuaian itu benar-benar berlaku, tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak kontraktor berkenaan akan dilakukan.

-- BERNAMA