KUALA LUMPUR: Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menerusi hantaran di platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, beliau menjelaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan perkara itu.

"Pertamanya, laporan (berita asing) tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya (sebelum ini) ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.

"Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita dalam talian Thailand, The Nation semalam yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, mengenai Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.

Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand malah juga di peringkat dunia.

"Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman," lapor portal berita itu.

Pada Mac 2023, Tesla mengumumkan rancangan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Ia selepas MITI meluluskan permohonan Tesla untuk mengeksport Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) ke Malaysia.

Tengku Zafrul juga berkata dalam usaha mengukuhkan ekosistem kereta elektrik (EV), kerajaan telah memperkenalkan Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri yang terbuka untuk mana-mana pembuat kenderaan EV.

Antara syarat yang dikenakan ialah memasang sekurang-kurangnya 50 unit ultra fast charger dengan kapasiti melebihi 180 kWh dan memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada ultra fast charger yang telah dibangunkan di Malaysia dibuka untuk kegunaan awam iaitu untuk jenama kenderaan selain daripada jenama milik syarikat.

Selain itu, pembuat kenderaan EV yang berminat perlu bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam membangunkan ekosistem industri perkhidmatan pengecasan EV.

Kerjasama itu termasuk menggunakan kontraktor tempatan yang membuat pemasangan pengecas EV, pembekal peralatan seperti transformer, kabel dan lain-lain, katanya.

Beliau berkata tujuan inisiatif itu adalah untuk meningkatkan rangkaian pengecas bagi kegunaan pemilik kenderaan EV tempatan di samping meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pengecasan EV.

"Melalui program yang serupa, negara seperti China, Hong Kong dan Norway telah mempercepat peralihan kepada kenderaan elektrik. Apabila ini berlaku, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mendapat manfaat daripada penyertaan dalam ekosistem EV.

'Setakat ini, hanya Tesla yang telah memohon dan diluluskan penyertaannya dalam inisiatif Global BEV ini tetapi kita mengalu-alukan penyertaan pembuat EV lain. Jadi, bila kata Tesla dapat layanan istimewa, tak betul tu, mana-mana syarikat pun boleh memohon untuk inisiatif ini," katanya.

Justeru, Tengku Zafrul berkata MITI akan terus berusaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia termasuk meneruskan strategi menarik pelaburan dalam industri automotif tidak terhad kepada Tesla sahaja.

"Dari 2022 hinggalah suku pertama 2024, kita telah menarik pelaburan bernilai RM24.55 bilion dalam aktiviti pembuatan berkaitan EV daripada syarikat seperti Chery, Gemilang Coachwork, Samsung SDI Energy, NexV Manufacturing dan EVE Energy.

"Pengeluar tempatan kita turut menyokong rantaian bekalan global Tesla dengan membekalkan alat ganti, komponen dan sistem automasi kilang kepada mereka," katanya.

-- BERNAMA