KUALA LUMPUR: Kerjasama bersama pengeluar kenderaan elektrik (EV), Tesla dijangka dapat memacu Malaysia sebagai hab utama teknologi hijau di rantau ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Menerusi perbincangan dengan delegasi Tesla Malaysia pada Khamis, beliau berkata, syarikat itu menekankan sokongan terhadap ekosistem tempatan dengan melibatkan sembilan syarikat Malaysia dalam pembangunan infrastruktur pengecasan EV.

Selain itu, syarikat tersebut juga menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan untuk pemindahan ilmu dan pembangunan modal insan.

"Semoga usaha bersama ini terus berkembang, membawa manfaat besar kepada ekonomi, teknologi, dan tenaga lestari negara kita," katanya menerusi hantaran di laman sosial media beliau selepas mengadakan perbincangan dengan delegasi Tesla Malaysia, pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata, perbincangan pada Khamis memberi fokus kepada kemajuan dan pelaksanaan Skim AP Peneraju Global Battery Electric Vehicle (BEV).

Menurutnya, sehingga akhir Julai 2024, Tesla telah berjaya memasang 52 unit pengecas Supercharger dengan kapasiti 250KW, 54 unit pengecas Wall Connector AC, dan lebih 4,500 unit pengecas rumah di Semenanjung Malaysia.

Menerusi pelaburan yang mencecah AS$13.5 juta (RM59.06 million), Tesla menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap pembangunan infrastruktur pengecasan EV di negara kita.

"Kami juga berbincang mengenai potensi besar teknologi penyimpanan tenaga bateri yang dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan tenaga dan kestabilan grid elektrik Malaysia.

"Teknologi ini berpotensi untuk mengurangkan kos tenaga dan memperkukuhkan infrastruktur tenaga nasional kita," katanya. - BERNAMA