KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang aktivis membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial Facebook miliknya yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk M.M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Iswardy Morni, 47, pada akhir kes pendakwaan.

"Setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan dan hujahan kedua-dua pihak, saya mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh diperintah membela diri," katanya.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.

Sebanyak sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 3 Jan 2022.

Iswardy didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada 3 petang, 29 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA