KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul 1446 Hijrah kepada semua umat Islam dan mengajak mereka menghayati nilai-nilai murni yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW, khususnya dalam kehidupan seharian.

Ahmad Zahid menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial berkata sambutan Maulidur Rasul ini bukan hanya sekadar memperingati kelahiran Baginda, tetapi juga mengingatkan umat Islam untuk terus mencontohi keperibadian mulia serta memperkukuh ukhuwah dalam masyarakat.

"Semoga semangat Maulidur Rasul ini mendorong kita semua untuk terus berusaha mencapai kejayaan dan kemajuan, bukan hanya dalam kehidupan duniawi tetapi juga ukhrawi di samping beristiqamah dalam meneladani Baginda.

"Semoga kita dapat bersama-sama membina sebuah negara yang lebih sejahtera dan makmur. Insya-Allah," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula mengajak umat Islam untuk perbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad bagi menunjukkan rasa cinta kepada Baginda.

Beliau berkata tema sambutan tahun ini, 'Al-Falah Pemacu Malaysia Madani' adalah manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan hakiki dunia dan akhirat.

"Marilah kita bersama-sama merenung sunah dan ajaran Baginda dalam usaha menjadi umat yang diredai Allah SWT.

"Semoga kita sentiasa memantapkan keyakinan, meningkatkan kecintaan, mencontohi pelakuan dan menghayati al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, serta memperoleh syafaat Baginda di Padang Mahsyar kelak," katanya.

Sementara itu beberapa jemaah menteri lain turut mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi dalam hantarannya mengajak umat Islam meneladani akhlak mulia baginda dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Turut senada, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

-- BERNAMA