Sempena Sambutan Maulidur Rasul, Perdana Menteri turut menyatakan ujian COVID-19 ini seharusnya mengukuhkan iltizam untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran Rasulullah SAW yang tidak pernah melupakan umatnya.
Beliau turut mengajak umat Islam berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, menghayati sirah Baginda serta berusaha sedaya upaya mencontohi Rasulullah.
Dalam kemas kini terbaru melalui Facebook, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai tema Sambutan Maulidur Rasul tahun ini adalah “Ummah Rabbani, Negara Harmoni”.
Menurutnya tema ini dipilih untuk menggambarkan peri pentingnya sifat rabbani dan kepatuhan hamba kepada Pencipta yang akhirnya akan membawa kepada keharmonian ummah dan negara.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
Perdana Menteri seterusnya memuji inisiatif dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menggerakkan kempen "Malaysia Berselawat".
Melalui inisiatif itu, peserta terdiri daripada rakyat Malaysia, dianjurkan merakam selawat dalam bentuk video pendek yang dikongsi di media sosial masing-masing dengan hashtag #SemarakCintaRasul serta tag laman sosial JAKIM.
"Ini bukan sahaja inisiatif sangat baik dan bersesuaian dengan amalan norma baharu yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan seharian, bahkan lebih utama melambangkan bukti kasih sayang kita kepada baginda Rasulullah melalui amalan berselawat ke atas Nabi SAW," kata Muhyiddin.