IPOH: Tertekan pedal minyak berlebihan menjadi punca kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki warga emas hilang kawalan lalu merempuh kedai di sebuah stesen minyak di Bercham di sini pada Selasa.

Kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada pemandu berusia 77 tahun itu dan pelanggan lain di premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan mendapati kenderaan terlibat hilang kawalan selepas melanggar bonggol menyebabkan pemandunya tertekan pedal minyak secara berlebihan.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan merempuh masuk ke dalam bangunan.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya bahagian hadapan kenderaan sahaja rosak.

"Siasatan lanjut mendapati tiada pelanggan yang terlibat semasa kejadian ini berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Abang Zainal Abidin berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) iaitu gagal mengawal kenderaan semasa memandu. - Sinar Harian