Selepas 18 jam menggeledah di kediaman peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pasukan polis kini menyambung operasi pencarian di sebuah kondominium mewah di ibu negara malam ini.

Sekumpulan pegawai dan anggota polis dikatakan sedang mengira wang tunai dan mengumpul barang kemas dipercayai milik pemimpin tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan pihaknya membuat serbuan di kondominium mewah tersebut.



Astro AWANI difahamkan salah seorang anggota polis turun dari kondominium mewah sekitar jam 10.56 malam itu membawa peralatan siasatan termasuk mesin untuk mengira wang.

Sewaktu artikel ini diterbitkan kira-kira jam 11.15 malam tadi, Amar Singh dipercayai masih berada di dalam kondominium itu.

Kru Astro AWANI sedang memantau perkembangan terbaharu di premis berikut untuk mengikuti sidang media bersama Amar Singh di situ sebentar lagi.