TAMPIN: Perasaan curiga seorang isteri apabila suaminya gagal dihubungi telah membawa kepada penemuan mayat lelaki itu di rumah sewa mereka di Kampung Repah di sini pada Khamis.

Paling memilukan apabila wanita terbabit melihat mayat suaminya yang berusia 26 tahun dalam keadaan kaki dan tangan berikat serta berbungkus dengan selimut.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 3.02 petang yang memaklumkan terdapat mayat seorang lelaki terbaring dalam rumah yang berkunci.

"Polis ke lokasi mendapati mangsa berada dalam bilik pertama di atas tilam berhampiran pintu bilik dengan keadaan tangan dan kaki berikat.

"Badan mangsa pula berbalut dengan kain selimut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, isteri mangsa memberitahu kali terakhir berkomunikasi dengan mangsa pada Selasa lalu.

Bagaimanapun katanya, mangsa gagal dihubungi pada keesokannya menyebabkan isterinya mengambil keputusan pulang ke rumah.

"Isteri mangsa bersama anak dan emak telah pulang ke rumah untuk melihat keadaan mangsa pada jam 2.30 petang.


Artikel asal di Sinar Harian