GEORGE TOWN: Seorang lelaki dipercayai bertindak menikam teman wanitanya sebelum terjun dari tingkat lapan pangsapuri Taman Kilangin di Jalan Sungai Pinang, George Town petang Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V. Saravanan berkata kedua-dua mangsa yang dipercayai warga Myanmar itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut saksi kejadian, ketika kejadian, wanita tersebut baru pulang dari kerja apabila suspek secara tiba-tiba muncul dan terus memeluk mangsa lalu menikamnya, kata Saravanan.

"Mangsa baru balik dari tempat kerja, semasa sampai di tingkat lapan, tiba-tiba suspek datang terus dan memeluk mangsa dari belakang sambil menutup mulut mangsa dan terus tikam mangsa di bahagian perut beberapa kali dengan senjata pisau.

"Saksi cuba menyelamatkan mangsa namun ditolak oleh suspek. Suspek kemudian terus terjun ke bawah dan ditemui mati," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Khamis

Terdahulu penduduk di kawasan berkenaan gempar selepas menemui mayat wanita dan lelaki di dua kawasan di bangunan berkenaan kira kira jam 8 malam.

Mayat lelaki ditemui di kawasan parkir kediaman itu dalam keadaan tercucuk besi pada bahagian depan badannya.

Manakala, mayat wanita pula ditemui di kawasan koridor kediaman di aras lapan dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.

Difahamkan, lelaki terbabit nekad terjun dari tingkat lapan pangsapuri berkenaan selepas dipercayai  menikam mangsa yang dipercayai teman wanitanya sehingga maut.



Befrienders