KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 6 hingga 11 Mac ini.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua Muhyiddin selaku Perdana Menteri selepas melawat Indonesia bulan lalu.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, lawatan Muhyiddin ke Arab Saudi adalah susulan jemputan Raja Salman Abdulaziz Al Saud pada April 2020.

“Perdana Menteri merupakan Ketua Kerajaan yang pertama dijemput oleh Raja Salman untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi susulan dari Persidangan Al-Ula pada 5 Januari 2021 yang lalu.

Menerusi lawatan itu, kedua-dua negara dijangka membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala selain meneroka peluang kerjasama baharu.

“Ini termasuk menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (HLSC) di peringkat Menteri Luar Negeri sebagai platform menyeluruh hubungan dua hala.

“HLSC akan membuka ruang kepada perundingan berkala di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai bidang, antaranya, isu-isu politik keselamatan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca COVID-19, urusan Haji dan Umrah, keselamatan makanan dan perdagangan minyak kelapa sawit,” tambah Wisma Putra.

Selain itu, lawatan akan turut memacu kerjasama dalam bidang sains dan teknologi yang akan menyumbang kepada kepentingan strategik kedua-dua negara.

Ini termasuk cadangan penubuhan Pusat Inovasi Teknikal Malaysia–Arab Saudi yang akan menjadi platform bagi menggalakkan kerjasama dalam pembangunan bandar pintar, kecerdasan buatan dan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

Malaysia juga dijangka mengukuhkan kerjasama dalam bidang Haji dan Umrah dengan pemeteraian inisiatif Mecca Road Service yang akan memudahkan proses pra-pelepasan ibadah Haji dan umrah bagi Jemaah Malaysia, seperti urusan penerbangan, semakan visa dan passport, prosedur kastam dan urusan logistik lain. 

Turut bakal dibincangkan iaitu berkaita kuota Haji, serta prosedur Haji dan Umrah bagi jemaah dari Malaysia. 

Pertemuan kedua pemimpin juga dijangka akan meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk dalam sektor minyak dan gas, serta tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu kedua negara juga dijangka mengukuhkan usahasama dan maklumbalas dalam menghadapi pandemik COVID-19, termasuklah impak sosioekonomi kepada kedua-dua buah negara. 

Malaysia juga berhasrat meneroka pasaran baru bagi eksport kelapa sawit di Arab Saudi, serta rantau Timur Tengah dan Afrika selain mengukuhkan kerjasama dalam industri halal termasuklah usahasama di antara badan persijilan halal bagi kedua-dua negara. 

Lawatan ke UAE

Sementara itu lawatan Muhyiddin ke UAE juga dijangka bakal memacu usaha-usaha dalam meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan UAE selaku rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah.

“Malaysia dan UAE akan membincangkan usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala sedia ada selain meneroka peluang kerjasama baharu.

“Ia termasuk mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam menghadapi cabaran sedia ada dan akan datang termasuklah kerjasama dalam fasa pemulihan pasca pandemik menerusi teknologi, inovasi dan kerjasama ekonomi.

“Penubuhan Gabungan Keselamatan Makanan Antarabangsa dengan matlamat utama untuk mewujudkan daya tahan dan keteguhan dalam rantaian bekalan makanan global,” kata Wisma Putra.

Sebagai langkah permulaan, Malaysia dan UAE akan menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Penubuhan Kerjasama Diplomasi Makanan Malaysia- UAE

Selain itu lawatan Perdana Menteri juga dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dalam industri minyak dan gas.

Ini termasuk kerjasama antara pemain-pemain industri dari Malaysia dan UAE dalam kegiatan perniagaan sedia ada, serta potensi peluang dalam sektor huluan dan hiliran.

Lawatan itu juga dijangka membincangkan cadangan penubuhan Kursi Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan) di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).

Kursi tersebut diwujudkan bagi menggalakkan pemahaman dan hubungan di antara kedua-dua negara di samping mempromosikan konsep tadbir urus baik, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan toleransi antara agama seperti yang diterapkan oleh Almarhum Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan. 


Lawatan rasmi Muhyiddin akan dimulakan dengan ibadah Umrah diikuti ziarah di Madinah bermula 6 hingga 8 Mac.

Program rasmi Perdana Menteri akan berlangsung di Istana Al-Yamamah, Riyadh pada 9 Mac 2021 meliputi majlis sambutan rasmi, sesi mengadap secara maya dengan Yang Maha Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi.

Sementara di di UAE, program rasmi Perdana Menteri akan berlangsung di Abu Dhabi dan Dubai pada 10 Mac 2021.

Program tersebut termasuk pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamad bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE dan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan delegasi kecil merangkumi pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

Lawatan rasmi ini juga tertakluk kepada SOP pencegahan Covid-19 yang ketat sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).