KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mengadakan sebanyak 67 sesi temu duga khas untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negara dalam tempoh Januari 2020 hingga 31 Mac lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata inisiatif itu adalah untuk memastikan tiada golongan terpinggir dalam mendapatkan pekerjaan di negara ini.

"Sesi temu duga itu dihadiri seramai 1,677 golongan OKU dan daripada jumlah itu 464 orang telah berjaya mendapat pekerjaan, manakala 566 orang lagi berjaya ke sesi temu duga kedua," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Mustapha berkata bagi menangani isu pengangguran di dalam negara termasuk membabitkan golongan OKU, kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah melaksanakan pelbagai program antaranya JaminKerja dengan memperkenalkan insentif penggajian khusus untuk golongan rentan.

"Mulai 2020 hingga 2022, seramai 1,689 permohonan telah diluluskan melibatkan bayaran sebanyak RM12.8 juta bagi insentif penggajian khusus ini," katanya.

Mustapha berkata kerajaan melalui Perkeso juga telah menganjurkan Karnival Kerjaya untuk golongan OKU dengan seramai 2,874 golongan OKU telah mendapat pekerjaan sejak Januari 2021 hingga 31 Mac 2023.

"Kerajaan menerusi Perkeso turut melaksanakan program Kembali Bekerja dalam usaha membantu mereka yang hilang upaya untuk kembali semula bekerja.

"Sejak 2007 hingga 31 Mac 2023, seramai 55,634 peserta OKU telah dibantu untuk ditempatkan semula dalam pasaran kerja," katanya.

Selain itu, katanya sebuah pusat satelit MyfutureJobs pertama juga telah diperkenalkan khusus untuk golongan OKU di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi bagi memudahkan golongan ini mendapatkan maklumat berkaitan pasaran buruh.

-- BERNAMA