Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberi tempoh dua tahun untuk menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU), bermula tarikh arahan iaitu 5 Oktober tahun ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, unit berkenaan perlu diletakkan di bawah Lembaga Pengarah Syarikat, manakala pelaksanaan dan pelaporan fungsi teras dikawal selia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia negara bebas rasuah, Kerajaan telah mengambil langkah memantap dan memperkukuhkan integriti dan governans GLC melalui arahan YAB Perdana Menteri Siri 1 No. 1 Tahun 2018.

“Ia berkenaan penubuhan IGU di semua GLC, termasuk syarikat yang dimiliki kementerian dan agensi kerajaan, termasuk kerajaan negeri yang dikuatkuasakan 5 Oktober lepas,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan akan melancarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) pada Januari tahun hadapan bagi memantapkan sistem pengurusan pentadbiran kerajaan mengenai governans, integriti dan anti-rasuah.

Selain itu, Pensijilan ISO 37001 Anti-Bribery Management System akan digunapakai secara menyeluruh di setiap kementerian, agensi, jabatan, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berisiko tinggi bagi mencegah rasuah, dan membina budaya integriti.

"Usaha ini akan menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang mendapat pensijilan ISO 37001 dalam sektor awam," katanya lagi.