IPOH: Kira-kira 120 buah kereta terpakai musnah apabila sebuah kawasan menyimpan kenderaan yang terletak di Jalan Bendahara, Kampung Temiang dekat sini, terbakar pagi ini.

Kebakaran turut menyebabkan kepulan asap dari lokasi kejadian mencemaskan penduduk setempat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak bergegas ke lokasi kejadian sebaik
menerima panggilan pada pukul 10.30 pagi.


Menurut jurucakapnya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh telah dikerah ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

“Kebakaran melibatkan tempat penyimpanan kereta potong (scrap car) dan dianggarkan 120 buah kereta terbakar dengan anggaran kemusnahan 80 peratus,” katanya di sini.



Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Kata jurucakap itu lagi, anggota bomba membuat pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki, tiga pancutan dari sumber air pili bomba.

Jurucakap itu berkata, kerja-kerja pemadaman turut dibantu anggota BBP Ipoh dan Kuala Kangsar di samping Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru, Pasir Pinji dan Menglembu.

Operasi yang diketuai PKPgB Mohd Fadzeli Che Hussin berakhir pukul jam 1.34 tengah hari.